am@hmetro.com.my
Baca juga: Yoro menang rayuan, kad merah dibatalkan
Kuala Lumpur: Allahyarham Datuk Seri A Samad Said sering mengutus surat dan mengirim karya sasteranya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepanjang beliau menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh.
Anwar berkata, hubungan persahabatan yang terjalin sejak 1998 itu memperlihatkan keprihatinan Allahyarham yang sentiasa memastikan beliau mendapat kiriman karya, selain berkongsi pemikiran menerusi surat yang diutuskan.
Beliau berkata, Allahyarham Abdul Samad Muhammad Said yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad adalah tokoh besar negara yang bukan sahaja gigih memperjuangkan seni dan sastera, malah memainkan peranan penting sebagai pendidik bangsa.
“Dia seorang yang gigih, pencinta seni dan sastera serta juga pendidik bangsa. Negara tentunya kehilangan seorang tokoh besar Sasterawan Negara,” katanya ketika ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham, di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Anwar berkata, karya Allahyarham sudah mula mendapat perhatian dan dikenali masyarakat sejak 1955, sekali gus membuktikan sumbangan besar tokoh berkenaan dalam perkembangan dunia kesusasteraan tanah air.
Katanya, antara perkara yang boleh dijadikan inspirasi generasi muda ialah kesungguhan Allahyarham mempertahankan bahasa dan sastera sebagai elemen penting dalam kehidupan serta pembinaan tamadun bangsa.
“Allahyarham berpegang kepada prinsip bahawa sastera bukan bidang khusus yang hanya perlu dikuasai kelompok tertentu, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada kekuatan sesebuah bangsa.
“Dia gigih mempertahankan kecintaannya terhadap bahasa, sastera dan menganggap bahawa sastera itu mesti dikuasai, tidak seperti setengah anggapan bahawa sastera itu satu bidang yang khusus.
“Kehidupan bangsa dan pembinaan tamadun itu harus bersandarkan juga kepada kekuatan sastera,” katanya.
Mengulas keperibadian Allahyarham, Anwar berkata, beliau belum pernah menemui individu yang begitu tekun membaca seperti Sasterawan Negara itu berdasarkan pemerhatiannya terhadap koleksi buku dan catatan yang ditinggalkan di kediamannya.
Katanya, setiap buku yang dibaca Allahyarham turut disertakan catatan tersendiri, memperlihatkan kesungguhan beliau mendalami ilmu dan meneroka sastera daripada pelbagai sudut.
“Keupayaan serta penguasaan ilmu Allahyarham, khususnya dalam bidang sastera bukan sesuatu yang mudah untuk digantikan, justeru usaha mengangkat martabat tokoh sasterawan negara perlu terus diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 91 tahun, jam 6.10 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), akibat sakit tua dan disahkan menghidap diabetes.
© New Straits Times Press (M) Bhd