LATEST

Pindaan Akta Tabung Haji 1995 diteliti – Menteri

Pindaan Akta Tabung Haji 1995 diteliti – Menteri

am@hmetro.com.my

Baca juga: Anwar, Fahmi beri penghormatan terakhir kepada A Samad Said

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) sedang meneliti cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995 bagi memperkukuh tadbir urus institusi itu selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pindaan berkenaan dijangka meningkatkan tahap tadbir urus dan pengurusan institusi berkenaan, sekali gus melindungi kepentingan pendeposit.

“Cadangan pindaan akta masih melalui proses semakan dalaman TH dan kemudiannya akan dibincangkan juga di peringkat badan petugas khas yang membabitkan TH, Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara sebelum dibentangkan kepada saya selaku Menteri yang bertanggungjawab ke atas TH.

“Proses cadangan pindaan ini memerlukan penelitian menyeluruh kerana membabitkan pindaan perundangan dan penyelarasan antara kementerian serta agensi berkaitan.

“Penelitian ini perlu mengambil kira implikasi terhadap mandat dan operasi TH, sebelum keputusan dasar kerajaan dibuat melalui Jemaah Menteri dan pindaan rang undang-undang dibentangkan untuk pertimbangan serta kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang meminda akta berkenaan bagi melaksanakan syor RCI.

Pada 29 Julai lalu, kerajaan memutuskan untuk mendedahkan Laporan RCI kepada rakyat dan membahaskannya buat kali pertama dalam Sidang Khas Dewan Rakyat.

Laporan RCI yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setebal 211 halaman itu antara lain merangkumi pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu mengandungi pelbagai syor bagi memperkukuh tadbir urus serta menambah baik operasi institusi berkenaan.

Antara dapatan utama RCI ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017 berbanding keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.

Suruhanjaya itu turut mengenal pasti beberapa kelemahan tadbir urus, termasuk kuasa menteri yang terlalu luas dalam pelantikan, pertindihan peranan antara ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan, selain pengaruh politik dalam pentadbiran TH.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news