LATEST
Social Media

KPN bersuara! Tony Pua mungkin dipanggil polis, isu minit mesyuarat Lembaga Pengampunan

KPN bersuara! Tony Pua mungkin dipanggil polis, isu minit mesyuarat Lembaga Pengampunan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan memanggil pemimpin DAP, Tony Pua bagi membantu siasatan berhubung pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiada laporan polis dibuat

Memetik laporan daripada Bernama, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail menyatakan, perkara itu akan dirujuk kepada pegawai penyiasat untuk menentukan tindakan lanjut yang perlu diambil.

Baca juga: Raih dua anugerah berprestij! Bartech Beautee sasar tembusi pasaran Asia dengan teknologi AI

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan pihak polis setakat ini masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung isu berkenaan.

“Setakat ini, tak ada laporan polis berhubung isu ini… semua benda ini digembar-gemburkan di media sosial dan sebagainya tapi pihak polis bersedia untuk menyiasat perkara ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis.

Foto: NSTP

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan polis menggerakkan segala sumber bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat berkenaan.

Arahan itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya dakwaan kebocoran dan penyebaran dokumen berkenaan disiasat.

Ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Anwar turut menafikan dakwaan bahawa kerajaan menyebarkan minit mesyuarat yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum.

Beliau juga menafikan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib itu diedarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebaliknya, Perdana Menteri menjelaskan sebahagian dokumen berkenaan dinyahklasifikasikan oleh AGC bagi tujuan menyediakan jawapan untuk menghadapi prosiding mahkamah berkaitan isu berkenaan.

Sumber: Bernama

More in Social Media

View all

Latest news