Rom: Pemain nombor dua dunia, Jannik Sinner berisiko terlepas saingan Terbuka Australia 2027 selepas menjalani pembedahan lutut, menurut laporan media Itali, hari ini.
Baca juga: United diramal terselamat, tetapi cukup-cukup makan
Menurut laporan saluran televisyen Rai dan Sky Sport serta akhbar La Gazzetta dello Sport, pemain berusia 25 tahun itu mungkin terpaksa berehat selama tiga bulan.
Kejohanan Grand Slam pembuka tirai musim depan di Melbourne, yang menyaksikan Sinner muncul juara dua kali, dijadual bermula pada 17 Januari.
Doktor Sinner, Herbert Schoenhuber memberitahu Rai bahawa pembedahan yang dijalankan di Finland berjalan lancar, namun pegawai medianya masih belum memberikan maklum balas terhadap permintaan komen daripada AFP.
Pemenang lima gelaran Grand Slam itu tidak beraksi sejak merangkul gelaran sulung Wimbledon pada Julai lalu dan kehilangan kedudukan nombor satu dunia kepada Alexander Zverev.
Sinner sebelum ini mendapatkan pandangan beberapa pakar perubatan sebelum mengumumkan penarikan diri daripada baki saingan musim ini pada Oktober.
“Perkara paling sukar mengenai kecederaan ini ialah saya tidak dapat bersaing dan bermain tenis.
“Kehidupan saya di luar tenis juga agak terbatas kerana saya tidak dapat melakukan perkara yang benar-benar saya gemari. Ini kerana saya mahu melindungi lutut saya sebaik mungkin,” katanya dalam sebuah dokumentari terbaharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd