SHAH ALAM – Dakwaan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bahawa rakyat biasa bakal menanggung beban sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula perlu mengambil kira kadar yang dikenakan dalam Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ketika ini.Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil berkata, GST membolehkan peniaga menolak cukai yang sudah dibayar atas pembelian perniagaan yang layak, sekali gus mengurangkan cukai bertindih dalam rantaian bekalan.Menurutnya, sistem percukaian negara memerlukan mekanisme yang dapat mengurangkan cukai bertindih dan membolehkan rakyat melihat dengan lebih jelas jumlah cukai dibayar.”Di bawah SST hari ini pun, cukai yang dibayar oleh pembekal boleh masuk ke dalam harga barang. Bila kos itu dipindahkan kepada pembeli, siapa yang bayar di kaunter? Rakyat juga.”Ya, Kerajaan sudah memperluas SST sejak Julai 2025. Kementerian Kewangan menganggarkan kutipan meningkat daripada RM55.9 bilion pada 2025 kepada RM67 bilion pada 2026.”Angka itu hanya menjawab satu soalan iaitu berapa banyak kerajaan boleh kutip,” katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa.Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Tony Pua menyifatkan Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan golongan atasan.Tony Pua berkata, pengalaman pelaksanaan GST ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dijadikan peringatan khususnya berhubung isu bayaran balik cukai, kos dan inflasi.Mengulas lanjut, Fadzmel turut mempersoalkan sejauh mana peluasan SST dapat menangani cukai yang telah terkumpul dalam kos barangan, meskipun pengecualian cukai diberikan dalam keadaan tertentu.Ujarnya, GST memberi peniaga berdaftar cara lebih menyeluruh untuk menolak cukai sudah dibayar atas pembelian perniagaan yang layak.”Bayangkan begini saja. Seorang peniaga sos cili beli botol kosong daripada pembekal. Katakan GST untuk satu tempahan botol itu ialah RM6. Peniaga bayar RM6 itu kepada pembekal. Duit itu keluar daripada poket peniaga dulu.”Lepas botol diisi dan sos dijual, katakan jumlah GST yang peniaga kutip daripada pelanggan ialah RM12. Bila tiba masa nak bayar kepada kastam, peniaga tolak RM6 yang dah dibayar masa beli botol tadi. Jadi, dia serahkan baki RM6 kepada kastam.”Kira balik. RM6 di peringkat pembekal, tambah RM6 di peringkat peniaga sos. Jumlahnya RM12, sama dengan GST yang dibayar oleh pelanggan.”Sebab peniaga boleh menuntut semula RM6 itu melalui kredit cukai, GST atas botol kosong tadi tak perlu dimasukkan lagi sebagai kos membuat sos. Begitulah GST mengurangkan cukai bertindih,” katanya.
GST mampu kurangkan cukai bertindih, Fadzmel jawab dakwaan Tony Pua
Malay News | https://www.malay.news/gst-mampu-kurangkan-cukai-bertindih-fadzmel-jawab-dakwaan-tony-pua/