am@hmetro.com.my
Baca juga: Scholes persoal kemampuan Yoro
Seremban: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menyediakan pelan pengurusan risiko dan bencana susulan Monsun Timur Laut (MTL), termasuk menawarkan penempatan di asrama sekolah berhampiran kediaman calon serta menetapkan 15 sekolah sebagai Pusat Peperiksaan Alternatif Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Langkah itu bagi memastikan keselamatan 17,463 calon SPM di negeri ini tidak terjejas, terutama 274 calon yang dikenal pasti berdepan risiko banjir, laluan terputus hubungan dan tanah runtuh.
Pengarahnya, Khalidah Omar berkata, daripada 274 calon itu, 184 calon berisiko menghadapi masalah laluan ke sekolah akibat dinaiki air atau terputus hubungan, manakala 78 calon tinggal di rumah yang berisiko banjir dan 12 pelajar berdepan risiko tanah runtuh.
“Kita berharap menerusi langkah yang kita sediakan dapat membantu memastikan semua calon SPM dapat menghadapi peperiksaan dengan baik dan lancar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pelan pengurusan risiko dan bencana itu, Khalidah berkata, daripada 31 asrama harian di negeri ini, sebanyak 30 masih mempunyai kekosongan dan kapasiti untuk menerima calon yang memerlukan penempatan berkenaan.
“Selain itu, 15 sekolah di seluruh daerah ditetapkan sebagai Pusat Peperiksaan Alternatif SPM 2026 bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan akibat bencana,” katanya.
Beliau berkata, JPNS turut mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Pengurusan Peperiksaan (JKPP) bersama agensi berkaitan di peringkat negeri dan daerah dengan menumpukan pada enam operasi khas iaitu Operasi Payung, Operasi Wabak, Operasi Bom, Operasi Gempa, Operasi Topeng dan Operasi Tebuk.
“Sebuah Bilik Gerakan JKPP JPNS yang berpusat di Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan di Seremban telah diwujudkan dan mula beroperasi bagi menyelaras pengurusan serta tindakan berkaitan risiko peperiksaan.
“Bilik gerakan berkenaan boleh dihubungi menerusi talian 06-7648648,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd