TANGKAK: Tiga pelajar lelaki yang disyaki mencederakan seorang pelajar Tingkatan Dua susulan perselisihan faham berhubung mesej dalam WhatsApp kumpulan di sebuah sekolah menengah di daerah ini pada 13 November lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, esok.
Baca juga: 2 pelajar sekolah ditahan dalam operasi khas JPJ di Jalan Gunung Keriang
Timbalan Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Jamellulkamal Abdul Halim, berkata ketiga-tiga suspek berumur 15 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
“Berhubung perkembangan siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar berusia 14 tahun didakwa dipukul oleh tiga pelajar lelaki lain di sebuah sekolah menengah di Tangkak, kertas siasatan sudah lengkap dan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan negeri.
“Arahan tuduh ke atas ketiga-tiga pelajar itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jamellulkamal berkata, polis memandang serius sebarang bentuk perlakuan buli, khususnya membabitkan pelajar sekolah.
Justeru, katanya, ibu bapa dan pihak sekolah diminta sentiasa peka terhadap tingkah laku serta pergaulan anak-anak, selain tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan perbuatan buli.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu, khususnya yang boleh mendedahkan identiti pelajar terbabit.
Sebelum ini, perselisihan faham berhubung mesej perbualan dalam WhatsApp kumpulan dipercayai menjadi punca seorang pelajar Tingkatan Dua didakwa dibelasah tiga pelajar lelaki sehingga cedera.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi 13 November lalu, mangsa dipercayai ditendang dan ditumbuk berulang kali di beberapa bahagian badan oleh ketiga-tiga suspek di dalam bilik darjah.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.09 tengah malam 14 November lalu.
Susulan kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
© New Straits Times Press (M) Bhd