LATEST
National

Teknologi digital perlu seiring etika, tanggungjawab, elak maklumat palsu – Farrah Naz

Teknologi digital perlu seiring etika, tanggungjawab, elak maklumat palsu – Farrah Naz

SHAH ALAM: Penggunaan teknologi digital secara bertanggungjawab, amalan menyemak kesahihan fakta dan akauntabiliti peribadi menjadi elemen penting dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.

Baca juga: Malaysia rekod 294,697 tan biji koko dikisar sepanjang 2025, namun hanya 0.01 peratus babit biji koko tempatan

Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (Berita dan Hal Ehwal Semasa) Media Prima Bhd, Datuk Farrah Naz Abd Karim, berkata penularan pantas maklumat palsu, kandungan yang dijana kecerdasan buatan (AI) serta ancaman dalam talian menunjukkan keperluan meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab pengguna.

“Alam digital memberi peluang kepada kita semua untuk bersuara. Namun, persoalan pentingnya ialah sama ada kita menggunakan suara itu secara bertanggungjawab.

“Maklumat kini bergerak lebih pantas berbanding sebelum ini, dengan berita sampai kepada jutaan orang dalam tempoh beberapa minit, manakala gambar boleh tular sebelum kesahihannya sempat disahkan.

“Satu hantaran di media sosial mampu mempengaruhi pandangan masyarakat dan menjejaskan reputasi seseorang. Ini mengingatkan kita bahawa meskipun teknologi mendemokrasikan komunikasi, kuasa yang dibawanya turut hadir bersama tanggungjawab besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Festival Komunikasi dan Media (Commed) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, hari ini.

Turut hadir, Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Prof Dr Abd Rasid Abd Rahman; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Industri), Prof Madya Dr Tengku Elena Tengku Mahamad serta Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood.

Berkongsi pengalaman dalam bidang kewartawanan, Farrah Naz yang juga Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) dan profesor adjung di fakulti itu berkata, teknologi mengubah kaedah pengumpulan, pengesahan, penghasilan dan penyampaian berita, namun prinsip asas kewartawanan kekal sama.

Katanya, penghasilan berita sejak dulu melalui proses yang teliti, termasuk pengumpulan maklumat, semakan fakta, mendapatkan pandangan sumber dan penelitian editorial.

“Suatu ketika dulu, kita mempunyai masa mencukupi untuk mengumpul maklumat, menemubual sumber, menyemak dan mengesahkan fakta berulang kali, mendapatkan pandangan editor serta melalui penelitian editorial sebelum sesuatu berita disampaikan kepada masyarakat.

“Namun, tekanan hari ini amat berbeza. Bilik berita beroperasi dalam persekitaran yang sangat mementingkan kepantasan, dengan khalayak mengharapkan perkembangan berita dikemas kini hampir serta-merta.

“Platform digital pula mengutamakan pembabitan pengguna dan ada kalanya tekanan untuk menjadi pihak pertama melaporkan sesuatu berita boleh menjadi terlalu besar.

“Namun, saya ingin menegaskan satu pengajaran penting daripada pengalaman di bilik berita, iaitu tidak bermakna menjadi yang pertama jika maklumat disampaikan itu salah,” katanya.

Beliau berkata, maklumat diterbitkan dan disebarkan boleh terus tersebar tanpa kawalan, sekali gus menjadikan ketepatan serta pengesahan fakta semakin penting.

Katanya, meskipun pembetulan dibuat, tangkap layar dan perkongsian semula sesuatu kandungan masih boleh beredar lama selepas maklumat asal diperbetulkan atau hantaran berkenaan dipadamkan.

“Justeru, pengesahan fakta kekal sebagai asas kewartawanan yang bertanggungjawab. Prinsip ini bukan hanya terpakai kepada wartawan, sebaliknya semua pihak dalam industri,” katanya.

Farrah Naz turut mengingatkan orang ramai lebih berhati-hati sebelum berkongsi atau memberikan komen terhadap sesuatu maklumat dalam talian kerana setiap interaksi digital boleh membawa kesan di dunia nyata.

“Sebelum berkongsi tajuk berita sensasi, tanyakan kepada diri sendiri sama ada ia benar. Sebelum memanjangkan mesej yang mencetuskan kebimbangan, semak sumbernya terlebih dulu.

“Sebelum memberikan komen mengenai tragedi atau nasib malang yang menimpa seseorang, fikirkan insan sebenar di sebalik skrin itu.

“Setiap interaksi digital membabitkan manusia, emosi dan kesan nyata. Kita juga perlu memahami implikasi undang-undang sebenar terhadap tindakan dilakukan dalam talian,” katanya.

Mengulas tema festival itu iaitu ‘CTRL + THINK: Taking Control of Our Digital World’, beliau berkata, setiap individu perlu mengawal maklumat diakses, dikongsi dan cara mereka memberikan reaksi dalam ruang digital.

Beliau turut menyentuh pengaruh AI yang semakin berkembang, sambil menyifatkannya sebagai peluang dan tanggungjawab kepada golongan profesional media masa depan.

Katanya, meskipun AI mampu meningkatkan kecekapan dan kreativiti, teknologi itu tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia, etika serta akauntabiliti profesional.

“Kita tidak seharusnya membiarkan teknologi berfikir bagi pihak kita,” katanya.

Beliau menegaskan kredibiliti kekal sebagai aset paling bernilai dalam industri media, selain menggesa pelajar menerima inovasi digital tanpa mengorbankan etika dan integriti profesional.

“Jadilah individu yang cekap dari segi teknologi, namun kekal mempunyai sifat ingin tahu dari sudut intelektual. Berusahalah menjadi berpengaruh, tetapi sentiasa bertanggungjawab,” katanya.

Festival Commed 2026 yang berlangsung dua hari itu menampilkan forum, bengkel, kelas master, permainan interaktif, reruai pameran dan sesi bersama pengamal industri, alumni serta rakan strategik.

Pengunjung turut berpeluang menyertai bengkel keselamatan digital interaktif kendalian Forum Kandungan serta mengunjungi reruai pameran di ruang legar Menara Sultan Abdul Aziz Shah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news