LATEST
National

Malaysia rekod 294,697 tan biji koko dikisar sepanjang 2025, namun hanya 0.01 peratus babit biji koko tempatan

Malaysia rekod 294,697 tan biji koko dikisar sepanjang 2025, namun hanya 0.01 peratus babit biji koko tempatan

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 294,697 tan biji koko dikisar sepanjang tahun lalu, namun hanya 281 tan atau 0.01 peratus daripadanya membabitkan biji koko tempatan.

Baca juga: Bayern ancam potong gaji Musiala

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pencapaian itu menjadikan Malaysia antara negara pengisar koko utama dunia.

Menurutnya, kementerian sedang melaksanakan pelbagai usaha menerusi Pelan Tindakan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030) bagi meningkatkan pengeluaran biji koko tempatan secara berperingkat.

Beliau berkata, DAKN2030 menyasarkan peningkatan hasil biji koko kering kepada 0.56 tan sehektar menjelang 2030, berbanding 0.2 tan sehektar tahun lalu.

“Menerusi Program Galakan Tanaman Koko Sektor Perladangan dan Program Peluasan Tanaman Koko dan Hasil Koko, kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia juga komited meningkatkan keluasan kawasan tanaman koko negara kepada 10,000 hektar menjelang 2030.

“Pencapaian tanaman baharu juga sudah melebihi 400 hektar, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan bertanam koko adalah 6,939 hektar, sehingga September lalu,” katanya.

Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Noraini berkata, kementerian memberi tumpuan kepada lima pendekatan utama bagi mencapai sasaran berkenaan, termasuk peluasan kawasan tanaman menerusi pembabitan sektor perladangan.

Selain itu, katanya, usaha memulihkan kebun koko sedia ada turut dilaksanakan membabitkan kawasan seluas 2,126 hektar, manakala 3,295 pekebun kecil menerima bantuan input pertanian bagi meningkatkan produktiviti tanaman.

Beliau berkata, peningkatan produktiviti melalui penyelidikan dan penggunaan teknologi turut diberi keutamaan.

“Penggunaan teknologi pertanian moden, pengurusan nutrien sistematik serta kaedah kawalan penyakit dan perosak lebih berkesan turut diberi penekanan bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan mengurangkan kos operasi.

“Selain meningkatkan kuantiti pengeluaran, kerajaan turut memberi perhatian kepada penghasilan biji koko premium seperti single-origin cocoa dan fine-flavour cocoa yang mempunyai potensi memperoleh harga lebih tinggi di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news