LATEST
National

Bayern ancam potong gaji Musiala

Bayern ancam potong gaji Musiala

MUNICH: Bayern Munich berdepan kontroversi susulan kenyataan beberapa pengurusan tertinggi kelab yang mencetuskan tekanan terhadap Jamal Musiala, ketika gergasi Bundesliga itu bersiap menghadapi Lille dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Baca juga: Pelepasan Cukai LHDN: Semak Apa Boleh Tuntut Sebelum 2027

Bayern yang kini berada di tangga ke-13 memerlukan mata untuk menembusi kelompok lapan terbaik dan mengelak pusingan tambahan kalah mati, manakala Lille menghuni kedudukan ke-35.

Walaupun Bayern masih antara pencabar utama, krisis kecederaan terus membelenggu skuad kendalian Vincent Kompany.

Harry Kane, pemenang Ballon d’Or, menjadi pemain terbaru menyertai senarai kecederaan Bayern selepas mengalami kecederaan buku lali, Jumaat lalu, yang dijangka menyaksikan dia diketepikan sehingga Februari.

Namun, perhatian turut tertumpu kepada Musiala yang baru kembali beraksi selepas berehat selama dua bulan, apabila beberapa tokoh utama kelab didakwa melancarkan tekanan terhadap pemain tengah itu supaya menerima pengurangan gaji.

Kontroversi itu tercetus sehari sebelum Bayern mengumumkan pendapatan rekod hampir 1 bilion euro (RM4.52 bilion), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pendekatan pengurusan kelab terhadap pemain berusia 23 tahun berkenaan.

Musiala sebelum ini mendedahkan pada Ogos bahawa dia mengalami gangguan neurologi yang boleh menyebabkan sawan sementara tetapi boleh dirawat, selepas dua kali rebah ketika aksi pramusim.

Selepas pemain itu kembali, Rummenigge berkata prestasinya mungkin tidak kembali seperti dahulu dan Bayern perlu berbincang mengenai gajinya.

“Jika dia tidak kembali menjadi Jamal seperti dahulu, kita perlu berbincang dengan keluarganya, pemain itu dan, terutama sekali, agensinya kerana angka kewangan semasa tidak lagi dapat dipertahankan,” katanya kepada Sky Germany.

Kesatuan pemain FIFPRO pada Ahad mengecam Bayern, mendakwa kelab itu melancarkan “kempen terancang untuk memberi tekanan kepada Musiala dan wakilnya” supaya menerima pemotongan gaji, manakala kesatuan pemain Jerman, VDV, menyifatkan kenyataan berkenaan bakal meninggalkan kesan mendalam terhadap pemain serta kelab.

“Kelab dengan reputasi Bayern sepatutnya tahu lebih baik,” kata FIFPRO.

Presiden VDV, Carsten Ramelow, turut menyifatkan tindakan Bayern sebagai kesilapan besar, manakala legenda bola sepak Jerman, Lothar Matthaeus, menggesa kelab memberikan segala sokongan kepada Musiala.

“Saya percaya mereka yang bertanggungjawab sudah melakukan kesilapan besar di sini,” kata Ramelow, manakala Matthaeus berkata: “Ketika ini, segala beban diletakkan di bahu Musiala.”

Bagaimanapun, Kompany dan pengarah sukan, Max Eberl, tampil mempertahankan Musiala secara terbuka.

Kompany menegaskan tugas jurulatih adalah untuk mempercayai pemain, sambil berkata: “Jika kita berjaya membawanya kembali ke prestasi terbaik, semua pihak akan mendapat manfaat – kelab, penyokong dan seluruh bola sepak Jerman.”

Eberl pula yakin Musiala mampu kembali menyerlah jika diberikan peluang.

Krisis kecederaan Bayern turut membuka peluang kepada Musiala untuk membuktikan kepentingannya dalam beberapa bulan akan datang, dengan Kane, Serge Gnabry, Alphonso Davies, Ismael Saibari dan kapten Manuel Neuer dijangka tidak beraksi menentang Lille.

Michael Olise dan Luis Diaz juga diragui, sekali gus menjadikan pemain sayap berusia 18 tahun, Lennart Karl, satu-satunya penyerang yang berada dalam keadaan cergas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news