LATEST

Cadangan Amanah berasas, belum tentu formula terbaik menang PRU16 – Penganalisis

Cadangan Amanah berasas, belum tentu formula terbaik menang PRU16 – Penganalisis

SHAH ALAM – Cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) supaya Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tanpa kerjasama Barisan Nasional (BN) mempunyai asas relevan dari sudut prinsip politik, namun belum tentu menjadi formula terbaik dalam memastikan kemenangan gabungan itu.Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohamad Hafis Amat Simin berkata, cadangan itu mencerminkan usaha Amanah mengembalikan identiti PH sebagai gabungan yang memperjuangkan reformasi, tadbir urus baik dan pembaharuan institusi.Katanya, kerjasama politik BN dengan Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa pilihan raya negeri menimbulkan persoalan tentang hala tuju hubungan BN dengan PH, sekali gus memberi justifikasi kepada Amanah mendesak gabungan itu menilai semula kerjasama menjelang PRU16.”Bagaimanapun, sesuatu pendirian yang relevan dari sudut prinsip tidak semestinya menguntungkan dari sudut strategi pilihan raya.”Amanah perlu membezakan antara keberanian membuat pendirian politik dengan kebijaksanaan merangka strategi kemenangan,” katanya kepada Sinar Harian.Menurut Mohamad Hafis, BN khususnya UMNO masih mempunyai jaringan organisasi dan pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu, terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar.”Walaupun pengaruh tradisional UMNO telah mengalami kemerosotan, parti tersebut masih mempunyai kekuatan setempat yang tidak mudah digantikan oleh parti komponen PH,” ujarnya.Beliau berkata, ketiadaan kerjasama dengan BN berisiko mengecilkan peluang PH menembusi kawasan majoriti Melayu, khususnya kerusi yang mempunyai persaingan sengit.Bagaimanapun, beliau bersetuju tidak semua pengundi Melayu yang menyokong BN akan berpindah kepada PN atau menolak PH secara automatik.Beliau mengingatkan, keputusan PRN Melaka yang menyaksikan BN memperoleh 21 kerusi, manakala PN tiga kerusi dan PH empat kerusi juga menjadi isyarat bahawa kekuatan BN tidak boleh dipandang ringan.Justeru, Mohamad Hafis berkata, Amanah perlu membuktikan keupayaannya menarik lebih banyak sokongan Melayu sekiranya mahu PH bergerak tanpa BN.Menurutnya, Amanah mempunyai ruang untuk menjadi jambatan antara agenda reformasi PH dengan aspirasi masyarakat Melayu-Islam menerusi pendekatan Islam progresif dan sederhana.”Sekiranya Amanah mahu PH bergerak tanpa BN, parti itu juga harus mempunyai strategi alternatif yang meyakinkan untuk memperluas pengaruh dalam kawasan majoriti Melayu,” ujarnya.Beliau berkata, PH juga perlu mengekalkan sokongan pengundi bandar dan pelbagai kaum, selain memperluas penerimaan masyarakat Melayu bagi menghadapi PRU16.Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Presiden Amanah untuk membawa cadangan itu kepada Majlis Presiden PH sebagai pendekatan realistik kerana keputusan kerjasama perlu mengambil kira kekuatan kerusi dan kecenderungan pengundi.”PH tidak boleh membuat keputusan hanya berdasarkan siapa yang mahu dijadikan rakan politik, sebaliknya perlu menilai siapa yang mampu membantu membina kekuatan untuk membentuk kerajaan,” jelas beliau.

Latest news