am@hmetro.com.my
Baca juga: Pelepasan Cukai LHDN: Semak Apa Boleh Tuntut Sebelum 2027
Tanah Merah: Cubaan seorang lelaki melarikan diri daripada polis dengan memecut kenderaan yang membawa sembilan migran warga Myanmar berakhir apabila Hyundai Santa Fe dipandunya itu terbabas di Kampung Alor Pasir, di sini, kelmarin.
Kenderaan berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang menjalankan rondaan di sekitar Kampung Repek, Pasir Mas kira-kira 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata sebaik menyedari kehadiran polis, pemandu kenderaan itu bertindak memecut bagi melarikan diri sebelum terbabas berhampiran sebuah rumah di tepi jalan di Kampung Alor Pasir.
“Apabila menyedari kehadiran pihak polis, pemandu kenderaan bertindak memecut bagi melarikan diri sehingga ke Kampung Alor Pasir.
“Walau bagaimanapun, kenderaan terbabas berhampiran sebuah rumah di tepi jalan di kampung berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun bersama sembilan migran warga Myanmar, terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki berusia antara 18 hingga 47 tahun.
Semua migran berada di bahagian penumpang dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika diperiksa.
Beliau berkata semakan mendapati pemandu terbabit mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kes narkotik serta tiga rekod lampau berkaitan kes jenayah.
“Polis turut merampas Hyundai Santa Fe, sebuah telefon bimbit dan satu unit kunci kereta. Semua tangkapan dan barang rampasan dibawa untuk tindakan serta siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd