LATEST

Terengganu mula dilanda banjir, 123 mangsa dipindahkan di PPS

Terengganu mula dilanda banjir, 123 mangsa dipindahkan di PPS

am@hmetro.com.my

Baca juga: Yamal terlepas aksi bertemu Sabah

Kuala Nerus: Seramai 123 mangsa daripada 36 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Tok Jembal di sini, selepas kawasan kediaman mereka dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak semalam.

PPS berkenaan yang menjadi pertama dibuka di Terengganu bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 itu mula beroperasi pada 9 malam tadi.

Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Nerus, setakat jam 5 pagi ini, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan membabitkan 28 lelaki dewasa, 31 wanita dewasa, 14 warga emas serta 45 kanak-kanak.

Turut dipindahkan ialah empat bayi lelaki dan seorang wanita orang kurang upaya (OKU).

Pegawai Pusat Kawalan Negeri Terengganu, Mejar (PA) Mohd Hafiz Asikin yang juga Timbalan Pengarah APM Terengganu berkata, pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berisiko banjir.

Beliau berkata, keadaan cuaca di Kuala Nerus ketika ini dilaporkan hujan renyai, manakala trend paras air menunjukkan peningkatan secara perlahan.

Orang ramai khususnya penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news