LATEST
National

Kecederaan Doue, Kvaratskhelia jejas misi hatrik PSG

Kecederaan Doue, Kvaratskhelia jejas misi hatrik PSG

PARIS: Insiden malang membabitkan Desire Doue yang terpaksa memegang lutut sambil menahan kesakitan pastinya menyedihkan buat semua pihak yang berkaitan dengan Paris Saint-Germain (PSG), namun pada masa sama memberi harapan kepada pasukan lain yang mahu menghalang kelab Perancis itu daripada memenangi gelaran Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga berturut-turut musim ini.

Baca juga: Pemegang saham PFHL lulus skim penswastaan oleh Public Bank

PSG muncul juara Eropah dalam dua musim terakhir dan usaha mereka mempertahankan kejuaraan musim ini bermula dengan cukup cemerlang apabila mencatat empat kemenangan berturut-turut untuk mendahului kedudukan keseluruhan 36 pasukan pada pertengahan fasa liga.

Bagaimanapun, mereka kini kehilangan Doue, pemain yang cukup menyerlah, tepat sebulan selepas Khvicha Kvaratskhelia mengalami kecederaan sama, sekali gus menimbulkan keraguan besar terhadap peluang anak buah Luis Enrique untuk menjulang trofi itu sekali lagi.

Doue diusung keluar padang sambil menangis selepas lututnya berpusing dalam keadaan janggal ketika PSG menewaskan Nice 3-2 dalam aksi Ligue 1, Ahad lalu.

Kelab itu kemudian mengesahkan pemain berusia 21 tahun berkenaan mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kanan dan perlu menjalani pembedahan.

Musim Doue berkemungkinan sudah berakhir, manakala Kvaratskhelia kini memulakan proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ACL sama ketika kemenangan ke atas Barcelona bulan lalu.

Pemain sayap Georgia yang memiliki kepantasan dan kemampuan mencipta gerakan berbahaya itu muncul pemain terbaik dalam aksi kalah mati Liga Juara-Juara musim lalu selain menduduki tempat keenam dalam ranking Ballon d’Or tahun ini.

Sementara itu, Doue dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan ketika Paris membelasah Inter Milan 5-0 pada final Liga Juara-Juara 2025 dan menjadi pemain paling menyerlah PSG sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Dia akan kembali dua kali lebih kuat. Saya tidak bimbang,” kata Luis Enrique, namun dia edar kecederaan yang menimpa dua tonggak serangan terbaik pasukannya itu menjejaskan peluang kelab berkenaan untuk sekali lagi mencipta kejayaan di Eropah.

Jadi, apakah langkah yang perlu diambil PSG ketika mereka bersiap sedia untuk melayan kunjungan Roma, Khamis ini, selain jendela perpindahan pemain Januari yang semakin hampir?

“Kami sentiasa terbuka kepada sebarang kemungkinan dalam jendela perpindahan, tetapi bukan semata-mata kerana kami mempunyai pemain yang cedera.

“Kami mempunyai pemain yang boleh mengisi kekosongan dan kami akan mengatasi situasi ini sebagai satu pasukan. Ia bukan masalah,” kata jurulatih dari Sepanyol itu.

Luis Enrique mungkin boleh menyesali keputusannya melepaskan Bradley Barcola, yang menjaringkan 34 gol sepanjang dua kempen terakhir, untuk menyertai Liverpool.

Kini, tekanan besar terarah kepada Ousmane Dembele yang sering dibelenggu kecederaan untuk memastikan dirinya kekal cergas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news