MANJUNG: Dua lelaki warga Myanmar ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki senegara yang ditemukan di sebuah rumah di kawasan kebun di Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar, di sini, semalam.
Baca juga: KLIA kesal insiden penumpang tergelincir, tindakan segera sudah diambil
Kedua-dua suspek ditahan dalam operasi berasingan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak antara jam 11 pagi hingga 8 malam pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kedua-dua suspek dibawa ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut.
“Terdahulu, polis menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki warga Myanmar dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah rumah di kawasan kebun berkenaan jam 8.27 pagi, semalam.
“Susulan itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan sebelum mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti identiti serta punca sebenar kematian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222, saluran WhatsApp Hotline 017-682 8005, atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd