am@hmetro.com.my
Baca juga: Pasukan rali Malaysia beraksi di Thailand bulan depan
Kangar: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pokok di Jalan Kampung Tebuk Tengah, Simpang Empat, di sini, petang tadi.
Mangsa dikatakan baru pulang dari tempat kerja sebelum singgah di kedai bagi membeli bahan masakan untuk menyediakan hidangan sempena sambutan hari lahir anaknya malam ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Noryshah Umar, 47, yang bekerja di kantin Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan beralamat di Kampung Tebuk Tengah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115ZR dari arah Jalan Kampung Serdang menghala ke Kampung Tebuk Tengah.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sendiri ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok.
“Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Yusharifuddin berkata, kemalangan berlaku di laluan lurus satu lorong dua hala dengan keadaan cuaca baik serta permukaan jalan kering, selain motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, untuk bedah siasat pada jam 9 malam ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd