Jakarta: Presiden Indonesia Prabowo Subianto secara rasmi menyerahkan dua nama calon naib presiden kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) pada Isnin bagi mengisi kekosongan jawatan itu sehingga tamat penggal pemerintahan pada 2029.
Baca juga: KLIA kesal insiden penumpang tergelincir, tindakan segera sudah diambil
Dua calon yang dikemukakan ialah Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan merangkap Setiausaha Agung Parti Gerindra, Sugiono, serta Menteri Pertanian Andi Amran Sulaiman.
Prabowo berkata pemilihan kedua-dua calon itu berdasarkan prestasi, pengabdian dan kesetiaan mereka kepada negara, selain keyakinannya terhadap kemampuan masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai naib presiden.
“Pertimbangannya semata-mata prestasi, pengabdian, kesetiaan kepada negara, dan keyakinan saya bahawa mereka akan bekerja. Saya yakin mereka berdua akan bekerja sebaik-baiknya untuk bangsa dan negara, bangsa Indonesia,” katanya.
Beliau ditemui media selepas menyerahkan nama kedua-dua calon itu dalam pertemuan dengan pimpinan MPR di Ruang Pustakaloka, Gedung Nusantara IV-V, Kompleks Parlimen, Senayan, di sini.
Jawatan naib presiden Indonesia kosong susulan peletakan jawatan Gibran Rakabuming Raka pada 12 Nov lalu, selepas beliau mengemukakan surat pengunduran diri kepada Prabowo dan pimpinan MPR atas kehendaknya sendiri.
Gibran sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Naib Presiden bagi penggal 2024 hingga 2029 bersama Prabowo pada 20 Okt 2024.
Mengikut Perkara 8(2) Perlembagaan Indonesia 1945, MPR yang dianggotai ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD), bertanggungjawab memilih naib presiden baharu daripada dua calon yang dikemukakan presiden dalam tempoh 60 hari selepas kekosongan jawatan itu berlaku.
Prabowo memaklumkan bahawa rundingan telah diadakan dengan parti gabungan kerajaan di parlimen serta Dewan Pembina Parti Gerindra sebelum memutuskan pencalonan berkenaan.
MPR dijadual mengadakan sidang pleno pada 11 Dis ini bagi memilih dan melantik naib presiden baharu selepas proses verifikasi dan pemeriksaan kesihatan calon selesai.
© New Straits Times Press (M) Bhd