SUNGAI BULOH: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan cedera parah di wajahnya selepas diserang seekor monyet di kediamannya di Paya Jaras Hilir, di sini malam tadi.
Baca juga: Adakah Yoro patut dapat kad merah lawan Liverpool?
Mangsa, Ahmad Ayyash Adyan, dikatakan diserang haiwan itu ketika berada di rumah sebelum ibunya, Nur Elyana Batrisha Mohammad Farid, menyedari kejadian berkenaan.
Kejadian difahamkan berlaku kira-kira jam 8 malam, semalam.
Susulan kejadian itu, bapa mangsa segera membawa bayi berkenaan ke hospital dengan menaiki motosikal bagi mendapatkan rawatan.
Difahamkan, serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Berdasarkan maklumat penduduk, kejadian serangan monyet di kawasan berkenaan membabitkan lebih 10 mangsa setakat ini.
Penduduk sebelum ini dikatakan sudah membuat laporan berhubung gangguan haiwan berkenaan, namun mendakwa belum melihat sebarang tindakan penyelesaian diambil pihak berkuasa.
Katanya, penduduk bimbang kejadian sama berulang, terutama membabitkan kanak-kanak yang sering bermain di kawasan hadapan rumah pada waktu petang.
Penduduk berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah berkenaan demi keselamatan penduduk setempat.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Datuk Dr Halim Tamuri, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
“Rasa nak pecah dada tengok gambar bayi yang diserang monyet liar,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.
Katanya, beliau sendiri sudah ke pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor untuk menyampaikan aduan untuk tindakan selanjutnya dan berharap tindakan pantas serta tuntas untuk isu itu.
Pada masa sama beliau menyeru semua penduduk agar menjaga keselamatan diri dan keluarga, selain berharap insiden seperti itu tidak berulang lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd