LATEST

KKM kesan racun dalam 2 produk kosmetik

KKM kesan racun dalam 2 produk kosmetik

am@hmetro.com.my

Baca juga: Lapan premis penyembelihan haram, kaut RM10,000 sehari

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua produk kosmetik mengandungi bahan berbahaya miconazole dan bahan larangan imazalil yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM memaklumkan, produk terbabit ialah Toporin- Hydra Sensitive Cream yang mengandungi racun miconazole sementara Wan Fu Shuang (Imazalil).

Susulan pengesanan itu, penjual dan pengedar diarahkan menghentikan penjualan serta pengedaran kedua-dua produk berkenaan dengan serta-merta.

NPRA turut menasihatkan orang ramai yang sedang menggunakan kosmetik berkenaan supaya segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan sekiranya mengalami ketidakselesaan atau kesan advers.

“Bahan racun berjadual miconazole tidak dibenarkan digunakan dalam kosmetik di Malaysia.

“Produk yang mengandungi bahan ini adalah diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan.

“Ubat yang mengandungi miconazole hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, NPRA memaklumkan, imazalil atau dikenali sebagai enilconazole adalah bahan larangan yang tidak dibenarkan sama sekali dalam formulasi kosmetik.

NPRA berkata, bahan aktif racun kulat itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan, termasuk menyebabkan kerengsaan mata yang serius.

“Pendedahan berulang atau berpanjangan kepada bahan berkenaan juga berpotensi menjejaskan fungsi hati,” katanya.

NPRA turut mengingatkan penjual dan pengedar penjualan serta pengedaran kosmetik tidak bernotifikasi melanggar Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Peraturan 18A(15) peraturan sama dan Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news