Kuala Lumpur: Daripada helaian kertas yang dilipat satu demi satu, seorang akauntan berjaya menghasilkan gerbang origami tiga dimensi (3D) menggunakan 1,111 unit origami, sekali gus menjadikan seni tradisional Jepun itu sebagai terapi untuk meredakan tekanan kerja.
Baca juga: Dua langkah pun semput cari nafas, Amir Raja Lawak makin pulih
Gerbang dikenali sebagai Kusudama Arch itu dihasilkan menggunakan teknik Kusudama Sonobe menerusi gabungan 38 bebola kertas pelbagai saiz serta 151 hiasan berbentuk hati, sekali gus mencuri tumpuan pengunjung pada sambutan Hari Origami Sedunia 2026 di sebuah pusat beli-belah terkemuka, di sini, baru-baru ini.
Wan Nur Saaraa Wan Manshol, 45, berkata, karya yang mengambil masa seminggu untuk disiapkan itu bertujuan mengetengahkan potensi seni origami sebagai hiasan kreatif, selain membuktikan lipatan kertas mampu diolah menjadi karya seni yang menarik.
“Tahun lalu saya menghasilkan hiasan lampu menggunakan kertas, tetapi kali ini saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza dengan menghasilkan gerbang. Saya mahu menunjukkan origami juga boleh digunakan sebagai hiasan yang menarik, terutama dalam bentuk 3D,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada pameran berkenaan.
Selain Kusudama Arch, beliau turut menghasilkan beberapa karya lain antaranya Sonobe Light Haven, The Sonobe Lucky Cat, Songket in Fold dan Batik in Love Fold yang menonjolkan kreativitinya dalam seni dekorasi.
Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang itu, Wan Nur Saaraa berkata, seni origami mempunyai persamaan dengan kerjayanya sebagai akauntan kerana kedua-duanya memerlukan ketelitian dan keseimbangan.
“Sebagai akauntan, setiap akaun mesti seimbang. Begitu juga origami, jika lipatan tidak seimbang, bentuknya tidak akan menjadi cantik. Apabila berjaya menyiapkan sesuatu lipatan, kepuasannya berbeza dan dapat membantu menghilangkan tekanan selepas seharian bekerja,” katanya.
Wan Nur Saaraa yang juga antara artis yang bernaung di bawah Malaysia Origami Academy berkata, meskipun tidak menjadikannya sebagai sumber pendapatan tambahan, beliau mahu terus meneroka penghasilan karya dekorasi dan instalasi berskala lebih besar pada masa akan datang.
“Origami adalah antara hobi paling murah kerana hanya memerlukan kertas, malah surat khabar atau beg kertas juga boleh digunakan asalkan ada kesabaran dan ketelitian, jadi saya harap lebih ramai mencubanya kerana ia mampu mengasah kreativiti serta menenangkan fikiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd