LATEST

Dua langkah pun semput cari nafas, Amir Raja Lawak makin pulih

Dua langkah pun semput cari nafas, Amir Raja Lawak makin pulih

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Baca juga: Terucap terima kasih bukan tahniah, Azhan Rani mohon maaf

Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak menunjukkan perkembangan positif apabila tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan oksigen selepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bagaimanapun, keadaan fizikal pemilik nama Mohammad Amirullah Azmi itu masih lemah dan belum mampu untuk berjalan jauh atau bercakap terlalu banyak.

“Alhamdulillah, dah tak pakai oksigen. Cuma tak boleh berjalan atau bercakap banyak lagi ni. Saya cuba berjalan, tapi dua langkah pun semput cari nafas,” tulisnya menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

Dalam hantaran sama, Amir turut menjelaskan kesan parut yang kelihatan pada bahagian dahi dan hidungnya adalah akibat penggunaan mesin bantuan pernafasan (BiPAP) sepanjang tempoh dirawat di ICU.

“Kat dahi dengan hidung itu kesan pakai mesin BiPAP semasa di ICU. Katanya saya kena sental dengan Vaseline nanti untuk bagi bersih dan nampak natural balik,” tulisnya.

Walaupun masih dalam fasa pemulihan, pelawak itu tetap berseloroh dan bersedia untuk kembali berinteraksi serta bergurau senda dengan peminat di media sosial seperti kebiasaan.

“Baiklah, dengan ini kita sekarang dah boleh mula bergurau atau bahan-membahan balik di media sosial, cuma komen-komen saya tak dapat balas semua macam dahulu. ‘Yuolmismirait?’ Tunggu!” tulisnya.

Amir sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bahru pada 11 November lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan bergantung pada alat bantuan pernafasan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news