Kajang: Lokasi berbukit berhampiran kawasan perindustrian di sini, dipercayai diceroboh sekumpulan warga asing sejak kira-kira tiga tahun lalu sebelum dijadikan tempat beriadah dan bersukan lengkap dengan gelanggang permainan serta pondok rehat.
Baca juga: Jamawi terima jahitan pada kepala selepas tergelincir di KLIA
Tinjauan mendapati, kawasan itu lengang pada waktu siang, namun difahamkan akan dipenuhi warga asing pada waktu petang selepas tamat waktu bekerja serta pada hujung minggu bagi menjalankan pelbagai aktiviti sukan.
Laluan untuk mendaki ke puncak bukit itu agak curam serta licin dan perlu lebih berhati-hati, namun terdapat tali yang diikat antara pokok berhampiran dipercayai dipasang bagi memudahkan pergerakan warga asing naik ke atas kawasan terbabit.
Pemerhatian di kawasan lapang di puncak bukit itu turut menemukan sebuah padang bola sepak mini, gelanggang bola tampar serta gelanggang sepak takraw yang dibina secara haram.
Selain itu, turut dibina beberapa pondok kecil dan tempat duduk menggunakan sisa kayu, papan terpakai serta kanvas yang dipercayai dijadikan tempat warga asing beristirehat selepas bersukan.
Bagaimanapun, kawasan sekeliling gelanggang yang dibina dilihat dicemari dengan longgokan sampah sarap seperti plastik makanan, botol minuman serta sisa kayu yang dibuang merata-rata.
Pekerja kilang berhampiran lereng bukit itu yang hanya mahu dikenali sebagai Azman berkata, aktiviti pencerobohan serta kehadiran warga asing di situ dipercayai sudah berlarutan sejak kira-kira tiga tahun lalu.
Katanya, kawasan puncak bukit berkenaan pada asalnya dipenuhi pokok dan semak samun tebal sebelum diteroka serta dibersihkan menjadi kawasan lapang bagi tujuan riadah.
“Warga asing yang sering naik ke atas bukit ini terdiri warga Bangladesh, Myanmar dan Nepal yang kebanyakannya bekerja di kilang di kawasan perindustrian berhampiran.
“Pada awalnya, jumlah mereka yang beriadah di atas bukit ini hanya sedikit, namun lama-kelamaan semakin bertambah sehingga mencecah puluhan orang pada satu-satu masa,” katanya ketika ditemui hari ini.
Azman berkata, setiap hari selepas tamat waktu bekerja pada sebelah petang kelibat warga asing terbabit akan kelihatan berpusu-pusu mendaki bukit berkenaan untuk bersukan, selain suasana menjadi lebih meriah pada hari cuti hujung minggu.
“Jika pada waktu bekerja memang kawasan itu kosong dan tiada sebarang aktiviti, tetapi menjelang petang memang ramai yang naik ke atas. Selain itu, laluan bukit ini juga digunakan mereka sebagai jalan pintas ke jalan besar untuk urusan harian.
“Setakat ini kumpulan warga asing berkenaan hanya menjalankan aktiviti riadah dan tidak mengganggu penduduk sekitar memandangkan lokasi itu terletak dalam zon perindustrian, namun pencemaran sampah sarap di atas bukit berkenaan amat ketara,” katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata, dalam kalangan puluhan warga asing yang sering berkumpul di kawasan terbabit, dipercayai terdapat segelintir daripada mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit kerja sah.
“Awal tahun lalu, pernah nampak pihak berkuasa menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan ini dan ketika itu ramai warga asing bertempiaran melarikan diri masuk ke dalam kawasan bukit berkenaan.
“Namun selepas kejadian itu sehingga sekarang, tiada lagi operasi susulan dilihat dijalankan oleh pihak berkuasa di kawasan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kawasan atas bukit berkenaan turut terletak berhampiran tangki air serta menara pemancar komunikasi, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai aspek keselamatan walaupun status pemilikan tanah terbabit tidak dapat dipastikan sama ada milik persendirian atau di bawah seliaan kerajaan.
“Sepatutnya kawasan bukit seperti ini tidak boleh diceroboh sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak termasuk warga asing. Persoalannya, bagaimana mereka boleh meneroka dan membersihkan kawasan itu tanpa sebarang pemantauan daripada pihak berkaitan?” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd