KUALA LUMPUR: Buruh asing wajib menjalani saringan menerusi sistem bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.
Baca juga: Motosikal Rosak Lepas Hilang Kerja, Luahan Lelaki Raih Simpati
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akhbar Khan, berkata saringan itu akan meneliti rekod jenayah dan latar belakang buruh asing terbabit.
Proses saringan itu adalah prosedur wajib yang perlu dilalui setiap pekerja asing yang ingin diambil bekerja di negara ini.
Selain itu, katanya, majikan perlu mematuhi semua proses dan ketetapan ditetapkan kerajaan, sebelum menggaji buruh asing.
“Mana-mana pekerja asing yang mahu digaji (di negara ini) perlu melalui proses telah ditetapkan.
“Sebelum masuk ke negara ini, kita menggunakan sistem diintegrasikan dengan PDRM untuk menyemak sama ada mereka mempunyai kes jenayah lampau atau rekod tidak baik.
“Saya percaya kita akan sentiasa melihat kaedah terbaik bagi memastikan insiden disebutkan tadi dapat dikurangkan demi keselamatan pekerja dan rakyat tempatan,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai jaminan serta inisiatif kerajaan memastikan pekerja asing yang diluluskan kuota pekerjaan diberikan pendedahan mengenai undang-undang dan aspek keselamatan sepanjang berada di negara ini.
Nurul Amin turut membangkitkan kebimbangan berhubung beberapa insiden jenayah, didakwa membabitkan warga asing, selain meminta kerajaan memperketat pemantauan dan kawalan bagi menjamin keselamatan rakyat tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd