KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan seseorang Menteri tidak tertakluk kepada penerimaan atau penolakan mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri.Sebaliknya peguam, M Partiben berkata, perkara itu merupakan hak yang diberikan secara langsung oleh Perlembagaan Persekutuan.”Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang kuasa kepada Perdana Menteri untuk menerima atau menolak peletakan jawatan seseorang Menteri.”Peruntukan itu dengan jelas menyatakan bahawa seseorang Menteri boleh meletakkan jawatannya tanpa menetapkan keperluan mendapatkan persetujuan atau penerimaan daripada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.Beliau berkata, peranan Perdana Menteri dalam perkara itu merupakan sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pengurusan peralihan pentadbiran, penyerahan fungsi kementerian serta pelantikan pengganti.”Peranan Perdana Menteri dalam hal ini merupakan penasihat kepada Agong, berhubung pengurusan peralihan pentadbiran, penyerahan fungsi kementerian dan pelantikan pengganti.”Ia bukan penentu status peletakan jawatan tersebut,” katanya. Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.Bagaimanapun, Anthony berkata, status penerimaan peletakan jawatan itu perlu dirujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Beliau turut memaklumkan bahawa pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara berkenaan masih belum diadakan.Anthony juga meminta pihak media mengemukakan sebarang pertanyaan mengenai perkembangan perkara itu kepada Anwar.Mengulas lanjut, Partiben menjelaskan bahawa, Perlembagaan Persekutuan menetapkan peletakan jawatan sebagai hak seseorang Menteri menerusi penggunaan perkataan ‘boleh meletakkan jawatannya’ dalam Perkara 43(5).Beliau turut menegaskan bahawa pelucutan jawatan dan peletakan jawatan merupakan dua proses berbeza dari sudut Perlembagaan.Katanya, pelucutan jawatan berlaku apabila Agong membatalkan pelantikan seseorang Menteri atas nasihat Perdana Menteri.Sebaliknya beliau berkata, peletakan jawatan berlaku atas kehendak Menteri itu sendiri dan kedua-dua proses berkenaan tidak boleh dicampuradukkan.”Selaku peguam dan rakyat yang menjunjung Perlembagaan, saya berpendapat, menjadi suatu yang penting untuk perkara ini dijelaskan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, dan bukannya berdasarkan tafsiran politik,” katanya.END
‘Terima’ atau ‘tolak’, letak jawatan menteri tidak perlu persetujuan PM – Peguam
Malay News | https://www.malay.news/terima-atau-tolak-letak-jawatan-menteri-tidak-perlu-persetujuan-pm-peguam/