sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Taktikal ‘all-out’ KL City tak menjadi
Kuala Lumpur: Pengendali baharu Penang FC, Victor Andrag tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dan emosi di bangku simpanan sebaik wisel penamat dibunyikan selepas berjaya menghadiahkan kemenangan sulung di bawah kendaliannya menentang KL City FC.
Jaringan sendiri pertahanan KL City FC, Adam Nor Azlin pada penghujung babak pertama pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur membolehkan pelawat menang tipis 1-0, sekali gus melonjak ke tangga ketujuh Liga Super.
Kemenangan penting itu bukan sahaja menjadi kemenangan kedua buat skuad Harimau Kumbang musim ini, malah hadir pada saat pasukan berada dalam situasi tertekan di tangga ke-11 liga dengan misi membangkitkan semula keyakinan pemain.
Victor mengakui tugas menyuntik motivasi kepada skuad yang sedang bergelut di kelompok bawahan bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila berdepan lawan seperti KL City FC yang memiliki keserasian pemain yang sudah lama terbentuk.
“Sudah tentu sebagai jurulatih kita ada perasaan. Bila datang dalam keadaan pasukan di tangga ke-11, semua orang meletakkan usaha dan mengharapkan sesuatu berlaku.
“Bukan mudah untuk saya memotivasikan mereka kembali ke landasan namun apabila melihat kesungguhan dan usaha mereka, saya tidak boleh meminta lebih lagi,” katanya.
Meskipun gol kemenangan Penang FC hadir menerusi jaringan sendiri pihak lawan, Victor memilih untuk memberikan kredit penuh kepada pemain sayapnya, Mohamad Khala’if Mohd Naskam yang mencetuskan gerakan awal serangan sehingga membuahkan hasil buat pasukan.
“Dalam bola sepak, tidak kira bagaimana gol itu masuk, ia tetap dikira gol. Yang penting siapa yang memulakan pergerakan itu. Kalau dia tidak memulakan gerakan terbabit, kita tidak akan dapat gol itu, jadi saya beri pujian kepadanya.
“Jadi disinilah kita akan mula bergerak untuk mengubah keadaan secara perlahan-lahan. Kita cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Kita juga tidak boleh selesa dengan kemenangan ini kerana perjalanan masih jauh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd