Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kumpulan yang disifatkannya sebagai pembela DAP akan dipinggirkan parti itu sekiranya gagal menarik sokongan pengundi Melayu Islam.
Baca juga: Dari peminat ke pembuka tirai! Insomniacks hangatkan konsert 5SOS depan 11,000 penonton
Foto: Astro Awani
Memetik laporan Free Malaysia Today, dalam tulisan Minda Presiden PAS bertajuk Beristiqamah bersama hukum tertinggi dalam Islam, Hadi mendakwa kumpulan berkenaan menggunakan pendekatan seperti Islam progresif, pluralisme dan Madani bagi membantu DAP meraih undi tambahan. Menurutnya, usaha itu bertujuan menambah kerusi DAP di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Percayalah kumpulan ini akan pupus apabila dipinggirkan oleh DAP apabila gagal menggoda Melayu Islam,” katanya.
Hadi tidak menamakan mana-mana parti atau kumpulan secara khusus. Dalam tulisan sama, beliau membandingkan peranan kumpulan yang dimaksudkannya dengan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), yang dianggotai penyokong bukan Islam.
“Kalau PAS ada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) daripada kalangan bukan Islam, maka diadakan Himpunan Melayu Islam penyokong DAP yang bertindak menjadi jurubicara dan pembela kepadanya,” jelasnya.
Hadi turut berkata PAS menganggap kerjasama dengan kumpulan Islam sebagai satu kewajipan. Menurutnya, kerjasama dengan pihak bukan Islam dibenarkan selagi mereka tidak bersikap ekstrem atau memusuhi Islam dan umatnya, serta kerjasama itu mematuhi batas yang ditetapkan agama.
“Maka, PAS menolak sebarang kerjasama dengan pihak yang terbuka bermusuh terhadap Islam,” tambahnya lagi.
Sumber: Free Malaysia Today