LATEST

Bendung calon tak hadir! Ujian mendengar, kertas bertulis SPM disekalikan pada hari sama

Bendung calon tak hadir! Ujian mendengar, kertas bertulis SPM disekalikan pada hari sama

Bagi mengurangkan masalah ketidakhadiran calon, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat pertama kalinya menjadualkan ujian mendengar dan kertas bertulis bagi mata pelajaran Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris pada hari yang sama dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, perubahan itu dilaksanakan susulan terdapat calon yang mengambil mudah peperiksaan dengan tidak menghadiri semua komponen yang ditetapkan.

Baca juga: Pochettino cipta dua rekod buruk ketika diaibkan Liverpool

Menurutnya, sebelum ini terdapat calon yang tidak hadir menduduki kertas bertulis selepas selesai ujian mendengar kerana beranggapan mereka sudah memperoleh keputusan yang baik.

Malah, terdapat juga calon yang hanya hadir menduduki kertas bertulis tetapi tidak menghadiri ujian lisan, menyebabkan mereka dianggap tidak hadir dan dikira gagal walaupun telah menjawab kertas berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Azam menjelaskan struktur serta jadual peperiksaan sedia ada akan dikekalkan buat masa ini, manakala sebarang perubahan lanjut dilaksanakan secara berperingkat selepas menilai keberkesanan pelaksanaannya.

“Kita mahu melihat dulu bagaimana pelaksanaannya,” katanya.

Kredit Foto: Astro Awani

Dalam pada itu, beliau memaklumkan jumlah calon yang tidak hadir peperiksaan SPM menunjukkan penurunan kepada 7,099 orang pada 2025 berbanding 8,108 orang pada tahun sebelumnya.

Seramai 420,898 calon berdaftar mula menduduki peperiksaan SPM 2026 hari ini, dengan peperiksaan bertulis berlangsung sehingga 17 Disember depan.

Bagi hari pertama, calon menduduki tiga kertas Bahasa Melayu bermula dengan ujian mendengar Kertas 4 dari jam 9 pagi hingga 9.30 pagi, diikuti Kertas 1 pada jam 10.45 pagi hingga 12.45 tengah hari dan Kertas 2 dari jam 2.30 petang hingga 5 petang.

Sementara itu, di Putrajaya, seramai 2,745 calon menduduki peperiksaan berkenaan di 16 pusat peperiksaan, menurut Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

May be an image of text

Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), seramai 247 calon tiba seawal jam 7 pagi dan disambut rakan pelajar di ruang lobi sebelum ujian mendengar bermula.

Mohd Azam yang turut bertemu calon pagi ini mengingatkan mereka supaya berusaha menjawab setiap soalan kerana pemarkahan bukan hanya bergantung kepada ketepatan jawapan, malah turut mengambil kira kemahiran berfikir dan kreativiti.

“Hari ini, markah bukan semata-mata bergantung kepada jawapan.
“Ia bergantung kepada keupayaan berfikir dan kreativiti anda dalam memberikan jawapan.
“Kalau tidak menjawab, anda tidak boleh mendapat markah, faham?” katanya lagi.

Kredit Foto: Kosmo! Online

Calon boleh merujuk jadual penuh peperiksaan SPM 2026 menerusi laman web rasmi Lembaga Peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh dan masa setiap kertas peperiksaan.

Sumber: Harian Metro (Aza Jemima Ahmad dan Adlina Sharudin)

Latest news