LATEST

Pemandu cari ‘abang redah banjir’ bantu keluar dari ladang sawit di Ijok

Pemandu cari ‘abang redah banjir’ bantu keluar dari ladang sawit di Ijok

asyikin.mat@hmetro.com.my

Baca juga: PN perlu luaskan kerjasama tawan Putrajaya – Ahmad Samsuri

Kuala Lumpur: “Tolong tularkan dan bantu saya cari abang yang bantu saya ketika terperangkap dalam banjir dan meredah banjir di Ijok, Selangor,” kata seorang pengguna platform Thread yang menggunakan nama Khoo_kevin.

Katanya, dia bertemu lelaki itu secara kebetulan selepas tersesat ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeram, Selangor bagi menghadiri majlis ‘reunion’ sekolah selepas 30 tahun tidak bertemu.

“Aplikasi navigasi Waze digunakan membawa saya ke kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Ijok, Selangor yang ketika itu dilanda banjir dan saya terkandas.

“Abang ini meredah banjir untuk mengetahui kedalaman air, memberikan isyarat saya boleh meneruskan perjalanan selepas mendapati jalan itu selamat dilalui kenderaan.

“Bukan abang ini saja membantu, malah hampir seluruh penduduk kampung keluar untuk melihat keadaan dan turut sama menolong saya yang terkandas dalam banjir,” katanya di Thread.

Beliau turut meminta bantuan warga maya untuk mengesan lelaki itu kerana ingin mengucapkan terima kasih secara bersemuka dan belanja makan sebagai tanda penghargaan.

“Saya ingin beritahu kepada dunia bahawa masih ada insan berhati mulia di luar sana.

“Kejadian ini berlaku pada 21 November jam 6.30 petang,” katanya.

Berkongsi pengalaman itu dia berkata, pada hari kejadian hujan lebat sepanjang perjalanan menyebabkan aplikasi Waze membawanya keluar dari Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) melalui laluan Ijok dan tersesat di sebuah kampung tidak dikenali.

“Keadaan sekeliling hanya dikelilingi ladang kelapa sawit, sunyi dan air banjir semakin meningkat yang membuatkan saya berasa takut.

“Saya bernasib baik bertemu dengan abang ini, tanpa bantuannya kemungkinan hasrat menghadiri majlis reunion sekolah selepas 30 tahun tidak bertemu tidak kesampaian,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Thread mendapati warga maya memberikan pelbagai reaksi dan ada yang meminta Khoo_kevin kembali semula ke kampung berkenaan selepas banjir pulih bagi bertemu penduduk.

“Orang Ijok memang bagus dan baik sejak daripada generasi terawal Kampung Ijok dibuka hingga generasi sekarang.

“Penduduk memang sepakat bekerjasama menjaga ukhuwah dan keharmonian kampung. Saya orang luar tetapi berasa bangga tinggal di sini (Kampung Ijok),” kata pengguna Thread menggunakan nama Mankhairul.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news