LATEST

Wajib sahut panggilan negara

Wajib sahut panggilan negara

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Ada pertemuan tak pernah dirancang – Farid Kamil

Kuala Lumpur: Menyarung jersi keramat Harimau Malaya sudah pasti menjadi impian setiap pemain, malah panggilan skuad negara wajib disahut dengan penuh maruah dan kebanggaan.

Namun, tidak dinafikan ada juga situasi pemain terpaksa menolak peluang besar itu akibat beberapa alasan termasuk membabitkan masalah kecederaan atau atas sebab urusan penting terutama membabitkan keluarga.

Bagaimanapun, bola sepak juga mempunyai peraturan dan menjadi budi bicara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menilai alasan yang diberikan pemain atau kelab seandainya ada kes pemain tidak dapat menyahut panggilan atau menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Empat tahun lalu, pemain pertahanan, Rizal Ghazali dilaporkan menolak pelawaan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Beberapa hari selepas itu, Mohd Rizal membuat satu hantaran di laman media sosialnya dengan berkongsi gambar keadaan seorang lelaki yang dipercayai bapanya sedang terlantar sakit di sebuah hospital dan difahamkan ia menjadi faktor dia terpaksa menolak panggilan skuad kebangsaan.

Rizal yang sebelum itu diletakkan dalam senarai bersedia dipanggil bagi menggantikan Syahmi Safari selepas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan meminta pengecualian kerana menyambut kelahiran anaknya.

Bagaimanapun Rizal yang ketika itu beraksi bersama Sabah terselamat daripada dikenakan hukuman berat oleh FAM apabila badan induk itu hanya memberi amaran keras.

Sebelum itu, pada Oktober 2021, pemain pertahanan Terengganu FC Shahrul Nizam Ros Hasni dilaporkan tidak hadir melaporkan diri bersama skuad kebangsaan susulan masalah komunikasi.

Shahrul Nizam yang diletakkan dalam senarai bersedia sebelum dipanggil pengendali Harimau Malaya ketika itu, Tan Cheng Hoe dilaporkan gagal dihubungi kerana berada di laut, namun dia tidak dikenakan tindakan.

Cheng Hoe yang kini berperanan sebagai ketua jurulatih interim skuad kebangsaan mengharungi perjalanan lebih sukar ketika menghadapi dua aksi persahabatan di China, baru-baru ini apabila tujuh pemain yang dipanggilnya menarik diri pada saat akhir.

Pada 9 November lalu, iaitu hari pertama kem skuad kebangsaan bermula, FAM menerima surat rasmi daripada Selangor FC yang memaklumkan enam pemain mereka mengalami kecederaan ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC pada malam 8 November.

Pengendali berusia 58 tahun itu kemudian menerima satu lagi tamparan hebat apabila Safawi Rasid pula meninggalkan kem Harimau Malaya di China, dua hari sebelum berdepan pasukan negara itu atas sebab urusan keluarga.

Safawi bagaimanapun tampil menjelaskan menerusi laman media sosial bahawa dia bukan sengaja meninggalkan kem Malaysia sambil menegaskan tidak pernah menolak panggilan skuad kebangsaan.

Mungkin masih ramai yang kurang mengetahui peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan FAM berhubung kewajipan pemain serta kelab terhadap panggilan skuad kebangsaan dan prosedur sekiranya seseorang pemain tidak dapat melapor diri atau terpaksa menarik diri daripada kem latihan.

BH Sukan/Arena Metro mendapatkan pandangan pakar undang-undang iaitu Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid dan Nik Erman Nik Roseli, bagi menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai peraturan FIFA dan FAM berkaitan pelepasan pemain untuk menyertai skuad kebangsaan.

Kelab, pemain boleh dihukum

Kelab dan pemain boleh dikenakan hukuman berdasarkan peruntukan khusus di peringkat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya tidak mematuhi panggilan menyertai skuad negara.

Peguam undang-undang sukan, Syed Nur Aiman Syed Abdul Hamid menjelaskan bagi peringkat FIFA, Artikel 1 (1) Annexe (Lampiran) 1 Regulations on the Status and Transfer of Players (RSTP) mewajibkan kelab melepaskan pemain yang dipanggil oleh persatuannya iaitu badan bola sepak kebangsaan dan Artikel 3 (1) menetapkan, sebagai peraturan am, pemain wajib menyahut panggilan itu.

Syed Nur Aiman memaklumkan, Artikel 6 Annexe 1 memperuntukkan bahawa pelanggaran Annexe itu akan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA berdasarkan Kod Tatatertib FIFA yang memperuntukkan hukuman termasuk amaran, teguran, denda dan penggantungan.

Beliau berkata, di peringkat domestik, Lampiran 1 Peraturan Status dan Perpindahan Pemain (PSPP) FAM mengandungi kewajipan yang sama dengan Artikel 1 (1) mewajibkan pasukan melepaskan pemain dan Artikel 3 (1) mewajibkan pemain memberi persetujuan apabila dipanggil.

Katanya, Artikel 3 (2) pula menghendaki pemain dimaklumkan secara bertulis sekurang-kurangnya 15 hari sebelum jendela antarabangsa bermula, dengan makluman serentak kepada pasukan yang perlu mengesahkan pelepasan dalam enam hari.

“Bentuk hukuman dinyatakan dalam Artikel 1A Lampiran 1 (Ketidakpatuhan). Bagi pemain, jawatankuasa boleh mengenakan denda tidak melebihi RM25,000.

“Pemain juga boleh digantung secara automatik daripada semua aktiviti bola sepak dari tarikh mereka perlu melapor diri (ke pasukan kebangsaan) hingga tamat pertandingan yang sepatutnya diwakili dan FAM boleh melanjutkan tempoh itu.

“Jawatankuasa juga boleh mengambil tindakan lain yang difikirkan sesuai. Bagi pasukan, dendanya tidak melebihi RM100,000, dengan pemotongan maksimum tiga mata Liga M dan penggantungan yang sama.

“Bagi pegawai pula, dendanya tidak melebihi RM50,000. Hukuman ini boleh dikenakan berasingan atau digabungkan,” kata Syed Nur Aiman.

Selain itu, Syed Nur Aiman menjelaskan Artikel 5 Lampiran 1 menetapkan pemain yang dipanggil tidak boleh bermain untuk pasukannya sepanjang tempoh dia sudah dilepaskan atau sepatutnya dilepaskan, ditambah lima hari melainkan dipersetujui oleh persatuan iaitu FAM.

Ditanya adakah kelab perlu menyerahkan laporan perubatan kepada FAM sekiranya membabitkan kes pemain mengalami kecederaan, Syed Nur Aiman memaklumkan PSPP dan RSTP FIFA tidak menetapkan bentuk dokumen yang perlu dikemukakan oleh kelab dan tidak mensyaratkan laporan perubatan secara automatik.

“Mekanismanya ialah Artikel 4 Lampiran 1 PSPP iaitu pemain yang tidak dapat menyahut panggilan akibat kecederaan atau penyakit, jika diarahkan oleh persatuan, hendaklah bersetuju menjalani pemeriksaan perubatan oleh doktor yang ditentukan persatuan dan Artikel 4 Annexe 1 RSTP FIFA memperuntukkan perkara yang serupa,” katanya.

Sementara itu, peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli turut memperjelaskan mengenai peraturan yang diperuntukan FIFA sama dengan yang dijelaskan Syed Nur Aiman.

Bagi kes membabitkan pemain yang cedera dan tidak dapat melaporkan diri, beliau berkata FAM boleh terima penjelasan sedia ada yang diberikan dan badan induk itu juga boleh memilih untuk mengesahkan kecederaan dengan meminta pemain berjumpa doktor lantikan mereka.

“Keputusan untuk memanggil atau membenarkan pelepasan terletak pada FAM sepenuhnya. Jadi, jika FAM benarkan, FAM boleh benarkan tidak kira apa alasan pun,” kata Nik Erman ketika ditanya mengenai situasi Safawi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news