Portimao: Jika gelaran MotoGP 2025 menamatkan penantian penuh derita Marc Marquez selama enam tahun, kejayaan merangkul gelaran kelas premier buat kali kelapan setahun kemudian pula membuktikan dengan lebih jelas keengganannya untuk menyerah kalah.
Baca juga: Bayar Hutang Kad Kredit: 5 Langkah Supaya Tak Berlarutan
Marquez bangkit daripada ketinggalan 102 mata, defisit terbesar dalam sejarah MotoGP, selain pulih daripada kecederaan dan menjalani dua pembedahan sebelum melonjak dari tangga kelapan kedudukan kejuaraan untuk mengesahkan gelaran di Portugal dengan berbaki satu pusingan.
Kejayaan itu menyaksikan dia menyamai rekod Giacomo Agostini dengan lapan kejuaraan dunia kelas premier, sekali gus mengatasi Valentino Rossi yang pernah menjadi seteru utamanya dalam persaingan sengit sehingga mencetuskan pelbagai perdebatan dalam sukan itu.
“Luar biasa! Ini musim yang menyaksikan saya menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan.
“Pada satu ketika, saya sendiri merasakan semuanya sudah berakhir, tetapi orang di sekeliling saya – pasukan, adik saya, teman wanita, keluarga dan Ducati – sentiasa percaya kepada saya.
“Mereka berkata, ‘Tolong habiskan perlumbaan dan peluang kamu akan tiba’. Itulah yang saya lakukan,” katanya.
Marquez sebelum ini sudah membuktikan keupayaannya memenangi kejuaraan menerusi kepantasan dan kemahiran mengendalikan jentera ketika perlumbaan.
Namun, musim ini menuntut sesuatu yang berbeza iaitu ketabahan untuk membina semula semangat, bangkit daripada dugaan besar dan mengatasi cabaran seluruh barisan pelumba.
Terdapat kebimbangan mengenai kemampuan pelumba berusia 33 tahun itu untuk kembali ke prestasi terbaik, apatah lagi mencabar kejuaraan dunia sekali lagi selepas menjalani dua pembedahan, masing-masing pada bahu dan kaki yang mengalami keretakan.
Bagaimanapun, dia membina semula kempennya dengan tenang sebelum menemui kembali rentak, keyakinan dan corak tunggangan agresif yang diperlukan untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi jentera Ducati.
Selepas tujuh pusingan musim 2026, Marquez masih belum mencatat sebarang kemenangan apabila juara bertahan itu kelihatan bergelut berdepan kebangkitan Aprilia yang mempertaruhkan dua pencabar utama, Jorge Martin dan Marco Bezzecchi.
Aprilia jelas memiliki jentera lebih pantas di beberapa litar, namun mempunyai dua pelumba yang bersaing merebut kejuaraan boleh menjadi kelebihan dan juga kekurangan.
Sebaliknya, Ducati boleh memberikan tumpuan sokongan kepada Marquez ketika rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia, bergelut.
Aprilia berada di kedudukan lebih baik selepas Marquez terjatuh dalam perlumbaan pecut Grand Prix (GP) Perancis pada Mei lalu, insiden yang membawa kepada dua pembedahan dan memaksanya terlepas GP Catalan di laman sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd