Miami: Pemain nombor dua dunia dari Thailand, Jeeno Thitikul, merangkul kejuaraan Kejohanan Jelajah LPGA buat kali ketiga berturut-turut, awal pagi tadi, selepas mengekang cabaran pemain Jepun, Aki Iwai, sekali gus muncul pendahulu sepanjang zaman dari segi jumlah wang hadiah dalam jelajah berkenaan.
Baca juga: Orang ramai dinasihat waspada akaun palsu KSU Perbendaharaan di Threads
Jeeno mencatat tujuh bawah par 65 tanpa melakukan bogey untuk menamatkan saingan 72 lubang dengan catatan 24 bawah par 264, sekali gus meraih kemenangan bersejarah dengan kelebihan dua pukulan pada kejohanan penutup musim bernilai AS$11 juta (RM45.2 juta) di Tiburon Golf Club, Naples, Florida.
“Sejujurnya saya sendiri tidak tahu,” kata Jeeno ketika ditanya bagaimana dia mampu mencipta kejayaan tiga kali berturut-turut itu.
“Satu-satunya perkara yang saya boleh katakan ialah jangan ubah padang ini sehingga saya bersara. Saya dan padang ini seperti sahabat baik. Saya rasa padang ini sahabat terbaik saya dalam jelajah ini,” katanya lagi.
Jeeno membawa pulang hadiah utama AS$4 juta (RM16.4 juta), jumlah tertinggi pernah ditawarkan dalam golf wanita.
Kejayaan itu membolehkan Jeeno memecahkan rekod wang hadiah sepanjang karier LPGA milik Annika Sorenstam yang bertahan selama 25 tahun, iaitu AS$22,583,693 (RM92.9 juta).
Bintang Thailand itu memulakan hari terakhir dengan jumlah pendapatan kerjaya LPGA sebanyak AS$20,292,858 (RM83.4 juta).
Jeeno turut memberikan penghargaan kepada keluarganya yang banyak membantu dia mencapai kemuncak kejayaan dalam golf wanita.
“Golf adalah keutamaan saya, tetapi keluarga sentiasa menjadi perkara paling utama.
“Ketika kami masih muda, perjalanan kami masih jauh. Kami mengatasi pelbagai halangan dan kesukaran sehingga tiba saat semua orang melihat kejayaan ini. Namun, di sebalik tabir, bukan mudah untuk sampai ke Jelajah LPGA. Ramai pemain berbakat di sini,” katanya.
Kali terakhir seorang pemain memenangi kejohanan LPGA sama selama tiga tahun berturut-turut ialah Park In-bee dari Korea Selatan pada Kejohanan PGA Wanita 2015.
Bagaimanapun, belum pernah ada pemain memenangi Kejohanan Jelajah tiga tahun berturut-turut sebelum ini.
Jeeno kini mengumpul 12 gelaran LPGA sepanjang kariernya dan gelaran kelima musim ini selepas turut menjuarai LPGA Thailand, Mizuho Americas Open, Portland Classic dan Lotte Championship di Hawaii.
Iwai mencatat 65 pukulan untuk menduduki tempat kedua dengan 266 pukulan keseluruhan dan membawa pulang AS$1 juta (RM4.1 juta).
© New Straits Times Press (M) Bhd