SERDANG: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1 juta kepada Tabung Alumni Anak Negeri Selangor bagi memperluas bantuan kepada anak negeri yang melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Baca juga: `Beri yang terbaik, jangan mudah putus asa’ – Nasihat KP Pendidikan kepada calon SPM
Naib Canselor UPM, Profesor Dr Arifin Abdu, berkata sumbangan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari itu akan disalurkan menerusi inisiatif Tabung Endowment Alumni Anak Negeri (TEMAN).
“Satu lagi inisiatif yang amat bermakna dan wajar kita banggakan ialah kerjasama strategik dalam memperluas bantuan kepada anak-anak negeri menerusi TEMAN.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Penaung Persatuan Alumni UPM.
“Sumbangan ini adalah inisiatif Persatuan Alumni kepada alumni UPM,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal Sirih Pulang ke Gagang @ Homecoming Kali Ke-13, di sini, malam tadi.
Turut berkenan hadir ke majlis berkenaan ialah Raja Muda Selangor yang juga Pro Canselor UPM, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam perkembangan sama, Arifin berkata sumbangan alumni kepada universiti dalam pelbagai bentuk termasuk dana, kepakaran dan tenaga berjaya mengumpulkan RM2 juta pada majlis berkenaan.
Katanya, sumbangan alumni kepada universiti bukan sahaja membuka peluang kepada mahasiswa untuk melanjutkan pengajian, malah dapat membantu mereka melangkah ke alam pekerjaan.
“Melalui bimbingan kerjaya, perkongsian pengalaman, penyediaan tempat latihan industri dan peluang pekerjaan, alumni dapat membantu mahasiswa memahami keperluan industri dan membina keyakinan untuk memulakan kerjaya.
“Selain membantu mahasiswa melalui biasiswa, alumni UPM turut menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyokong pembangunan fasiliti universiti khususnya melalui sumbangan bagi menaik taraf dan menyediakan kemudahan yang lebih kondusif kepada warga kampus.
“Antara contoh yang ingin saya ketengahkan ialah sumbangan sebanyak RM200,000 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga alumni UPM dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK).
“Sumbangan berkenaan adalah bagi membiayai sepenuhnya kerja-kerja menaik taraf Latar Siswa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK).
“Bagi pihak UPM, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid atas keprihatinan dan sumbangan yang amat bermakna ini,” katanya.
Dalam pada itu, seramai 600 alumni UPM daripada pelbagai generasi berhimpun dalam majlis berkenaan menyemarakkan semangat kebersamaan dan memperkukuh hubungan antara alumni.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada 33 penerima sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan, pencapaian dan jasa mereka.
Penganugerahan kali ini turut memperkenalkan anugerah baharu, iaitu Anugerah Jiwa Putra, sebagai penghargaan terhadap individu yang menjiwai semangat dan nilai kebersamaan komuniti UPM.
Anugerah utama iaitu Anugerah Mutiara dianugerahkan kepada mantan Naib Canselor UPM kedua yang berkhidmat dari tahun 1982-1994 iaitu Prof Emeritus Tan Sri Dr Nayan Ariffin, sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau kepada universiti.
Selain itu, Amirudin turut menerima Anugerah Perkasa Alumni bersama Ketua Pegawai Siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Datuk Azhar Husin.
Turut menerima Anugerah Apresiasi Alumni dalam majlis berkenaan ialah Pengarang Berita Harian Metro, Dr Muhd Izawan Baharin.
© New Straits Times Press (M) Bhd