Klang : Seramai kira-kira 5,000 peserta termasuk pelari antarabangsa memeriahkan penganjuran Royal Klang Marathon 2026, semalam, dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dan aktif melalui aktiviti sukan.
Acara anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bersama Monzo Events diadakan sempena sambutan ulang tahun ketiga MBDK itu mempertandingkan empat kategori utama iaitu lima kilometer (KM), 10KM, 21KM dan 42KM.
Baca juga: Ramai tak tahu, tulang, kulit dan selaput uri juga boleh didermakan
Majlis pelepasan peserta bagi larian berkenaan disempurnakan oleh Datuk Bandar Diraja Klang, Datuk Abd Hamid Hussain.
Menurut Abd Hamid, acara berkenaan diadakan bagin menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Selain itu penganjuran maraton ini menjadi platform strategik mempromosikan Klang sebagai Bandar Diraja dan destinasi pelancongan dengan mengetengahkan tarikan perniagaan, kepelbagaian makanan serta produk tempatan.
“Kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang bukan sahaja memeriahkan suasana di sekitar bandar raya ini, malah memberi peluang kepada orang ramai mengenali keunikan serta potensi ekonomi setempat.” katanya.
Tambahnya, lebih menarik, penganjur turut menerapkan elemen kelestarian alam sekitar apabila menggunakan bahan kitar semula dalam penghasilan pingat penamat buat peserta.
Penganjuran Royal Klang Marathon 2026 turut mendapat sokongan rakan strategik dan penaja seperti GM Klang, Wyndham Acmar Klang, Pantai Hospital Klang, Pocari Sweat, Weis, Medalab dan 99 Speedmart selain kerjasama padu petugas serta sukarelawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd