LATEST

Pengarang Berita HM terima Anugerah Apresiasi Alumni UPM

Pengarang Berita HM terima Anugerah Apresiasi Alumni UPM

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Baca juga: Dari peminat ke pembuka tirai! Insomniacks hangatkan konsert 5SOS depan 11,000 penonton

Serdang: Pengarang Berita Harian Metro, Dr Muhd Izawan Baharin, menerima Anugerah Apresiasi Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pembabitannya dalam bidang kewartawanan serta hubungan dengan alma mater.

Pengiktirafan itu diberikan pada Majlis Makan Malam Amal Sirih Pulang ke Gagang@Homecoming ke-13, di sini, malam ini, dengan penerima turut menerima cincin khas UPM dan sijil penghargaan.

Seramai 33 alumni diraikan menerusi tujuh kategori anugerah pada majlis berkenaan iaitu Apresiasi Alumni, Jasa Alumni, Jiwa Putra Alumni, Khas Alumni Antarabangsa, Bakti Alumni, Perkasa Alumni dan Mutiara Alumni.

Turut menerima pengiktirafan alumni pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut berkenan hadir ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dr Muhd Izawan memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Mac 2022 menerusi kajiannya yang memfokuskan ‘Perbandingan Media Semasa Melaporkan Berita-berita Berkaitan dengan Politik Selepas Pilihan Raya’.

Dalam ucapannya Naib Canselor UPM Profesor Dr Arifin Abdu berkata, sumbangan alumni kepada universiti bukan sahaja membuka peluang kepada mahasiswa untuk melanjutkan pengajian, malah membantu mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Katanya, menerusi bimbingan kerjaya, perkongsian pengalaman, penyediaan tempat latihan industri dan peluang pekerjaan, alumni dapat membantu mahasiswa memahami keperluan industri serta membina keyakinan untuk memulakan kerjaya.

“Peranan ini juga penting dalam konteks penarafan antarabangsa. Dalam QS World University Rankings, reputasi universiti dalam kalangan majikan dan hasil pekerjaan graduan antara kayu ukur yang digunakan untuk menilai sesebuah universiti.

“Justeru, saya menyeru alumni agar terus membuka ruang kepada mahasiswa dan graduan baharu UPM untuk menimba pengalaman, membina jaringan profesional dan membuktikan keupayaan mereka dalam bidang masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, UPM bersama Pusat Perhubungan Alumni dan Persatuan Alumni UPM memberi perhatian kepada usaha membina hubungan berterusan antara alumni dan universiti melalui pelbagai platform serta inisiatif, antaranya Program Menggamit Kenangan Alumni Reunion (MEKAR) Jubli Emas.

Untuk rekod, seramai 600 alumni UPM daripada pelbagai generasi berhimpun pada majlis malam ini bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dan memperkukuh hubungan antara alumni dengan alma mater.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news