am@hmetro.com.my
Baca juga: Popular tetapi berilmu
Kuala Krai: Kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan dilaporkan hilang ketika bermain di halaman rumahnya di Kampung Bechah Salak, di sini, petang tadi, selepas ibu saudara yang memantau pergerakannya dikatakan tertidur kira-kira 15 minit.
Ketika kejadian, Muhammad Irsyad Hakim Mohammad Khairul sedang bermain di halaman rumah, manakala ibunya tidur di dalam rumah.
Bagaimanapun, ibu saudara kanak-kanak itu dikatakan tertidur kira-kira jam 4 petang sebelum ibu mangsa tersedar 15 minit kemudian dan mendapati anaknya tiada di lokasi berkenaan.
Komander Operasi, PBK I Mohd Khairul Duha Abdul Halim dari Balai Bomba Kuala Krai, berkata keluarga mangsa terlebih dahulu melakukan pencarian sebaik menyedari kehilangan kanak-kanak itu, termasuk di kawasan kolam ikan berhampiran rumah sebelum melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
“Terdapat dua kolam ikan kira-kira 50 meter daripada rumah mangsa, namun salah sebuah kolam berpagar.
“Pencarian sudah dilakukan di kolam ikan berkenaan dengan satu kolam yang kedalaman kira-kira tiga meter itu sudah dikeringkan, namun setakat ini mangsa belum ditemui.
“Difahamkan, mangsa adalah anak bongsu daripada dua beradik,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Khairul Duha berkata, berdasarkan maklum balas keluarga, pergerakan kanak-kanak itu masih perlahan walaupun sudah berusia setahun lapan bulan.
“Sehingga kini operasi mencari sedang dilakukan bagi mengesan kanak-kanak berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.37 petang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan di beberapa kawasan berhampiran termasuk sekitar rumah mangsa, kolam ikan serta kawasan hutan berdekatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd