Cik Bunga bukanlah mahu menghalang sesiapa bercakap atau memberikan pandangan mengenai dunia hiburan. Itu hak masing-masing. Namun, kalau sudah sampai setiap hari nama dua pelakon sensasi ini menjadi bahan sebutan, Cik Bunga pun tertanya-tanya, apa sebenarnya yang dicari?
Ada seorang pengacara dan selebriti ini yang nampaknya begitu rajin mengikuti perkembangan kisah pasangan pelakon terbabit. Bukan sekali dua, tetapi seolah-olah hampir setiap hari ada sahaja hantaran atau komen di media sosial yang mengaitkan dirinya dengan kontroversi dua artis itu.
Baca juga: Victor pacu Penang tumbangkan KL City
Kalau sehari tidak menyebut nama mereka, agaknya terasa tidak lengkap pula rutin media sosialnya. Cik Bunga bukan tidak faham, mungkin individu ini cukup mengikuti perkembangan pasangan pelakon itu. Mungkin juga terlalu mengagumi sehingga setiap perkembangan dirasakan perlu diberikan ulasan.
Tetapi, kalau benar sekadar mengagumi, tidak perlulah sampai setiap hari nama mereka dijadikan modal perbualan. Sekali-sekala memberikan pandangan itu tidak mengapa. Namun, apabila terlalu kerap diulang, orang yang membaca pun boleh mula tertanya-tanya. Adakah ini benar-benar kerana mahu memberikan pandangan atau ada agenda lain yang mahu dicapai?
Maklumlah, dalam dunia media sosial hari ini, perhatian orang ramai memang boleh menjadi mata wang yang cukup berharga. Sebut sahaja nama individu yang sedang hangat diperkatakan, tidak mustahil hantaran kita turut mendapat tempias perhatian.
Cik Bunga tidak mahu menuduh, jauh sekali membuat kesimpulan tentang niat sebenar pengacara itu. Namun, corak yang terlalu kerap itu memang mengundang tanda tanya.Kalau benar mahu membuktikan diri masih relevan, bukankah lebih menarik sekiranya pengacara itu menyerlah melalui pandangan, bakat dan pencapaian sendiri? Tidak perlulah terlalu bergantung kepada kisah panas orang lain.
Kasihan juga Cik Bunga melihat keadaan begitu. Seolah-olah kisah dua pelakon itu lebih mendapat tempat berbanding cerita dirinya sendiri. Apa pun, Cik Bunga percaya setiap selebriti ada cara untuk mengekalkan perhatian peminat. Cuma, biarlah berpada-pada.
The post Memang kena ‘berzikir’ nama artis itu setiap harikah? appeared first on Utusan Malaysia.