LATEST

Warga asing maut dirempuh ketika bantu pengguna jalan raya

Warga asing maut dirempuh ketika bantu pengguna jalan raya

am@hmetro.com.my

Baca juga: Sivasangari merangkul gelaran Terbuka China

Kulai: Niat baik seorang lelaki warga asing untuk membantu pengguna jalan raya yang berdepan kerosakan kereta di Kilometer 33.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, awal pagi tadi bertukar tragedi apabila dia maut dirempuh sebuah lori yang melalui kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata pihaknya menerima aduan mengenai kemalangan itu jam 5 pagi, sebelum anggota bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik bergegas ke situ dan mendapati ia membabitkan empat kenderaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang bergerak dari arah utara mengalami kerosakan lalu berhenti di lorong kiri jalan.

Katanya, sebuah kereta jenis Naza Citra yang berada di belakangnya kemudian berhenti di hadapan kereta itu bagi memberi bantuan kepada pemilik kenderaan terbabit.

“Sebelum kejadian, pemandu dan penumpang Naza Citra serta pemandu Perodua Myvi berada di luar kenderaan masing-masing.

“Ketika itu, tiba-tiba sebuah lori jenis Luton yang datang dari arah sama gagal mengelak mereka sebelum merempuh bahagian belakang Perodua Myvi dan melanggar seorang lelaki yang berada di lokasi kejadian.

“Sebuah lagi kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard yang melalui lorong kanan turut terbabit apabila dipercayai melanggar bahagian cermin sisi lori,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Seng Lee berkata, susulan itu, seorang lelaki warga Pakistan

berusia 41 tahun yang juga pemandu Naza Citra didapati cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Dua lagi lelaki iaitu pemandu Myvi dan penumpang Naza Citra yang juga warga Pakistan cedera, manakala pemandu lori dan Alphard terselamat,” katanya.

Seng Lee berkata pemeriksaan ujian saringan air kencing pemandu lori selepas itu dapati negatif daripada sebarang bahan terlarang.

Katanya, semua kenderaan terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Seng Lee meminta orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kemalangan itu menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710 atau hadir ke ibu pejabat polis daerah Kulai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news