KUALA LUMPUR: Kebergantungan tinggi pengusaha bas ekspres terhadap platform jualan tiket pihak ketiga dijangka menjadi antara cabaran utama dalam pelaksanaan aturan baharu penjualan tiket, khususnya membabitkan struktur caj, kadar komisen dan kelangsungan daya saing industri.
Baca juga: Chop Parking Guna Kon Di Flat, Netizen Berbalah Di Threads
Ini kerana kira-kira 14,000 daripada purata 18,000 tiket bas ekspres yang dijual setiap hari, khususnya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dibeli menerusi platform luar, termasuk ejen tiket dalam talian, mewakili hampir 80 peratus daripada keseluruhan jualan harian.
Keadaan itu menunjukkan platform digital pihak ketiga memainkan peranan besar dalam mendapatkan pelanggan, sekali gus menjadikan sebarang perubahan struktur caj sebagai perkara penting kepada pengusaha yang perlu mengawal kos pengedaran dan mengekalkan margin operasi.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan pada 5 November lalu, memaklumkan pelaksanaan peraturan yang menyalurkan penjualan tiket melalui terminal berlesen dan platform jualan dalam talian pengusaha berdaftar, ditangguhkan daripada tarikh asal 1 November dan dilaksanakan secara berperingkat.
Langkah itu bagi memberi ruang industri menyesuaikan sistem tiket serta melaksanakan integrasi platform digital masing-masing.
Sepanjang tempoh peralihan, orang ramai masih boleh membeli tiket melalui platform sedia ada sehingga dimaklumkan kelak, manakala pengusaha dan penyedia perkhidmatan diberi masa menyesuaikan operasi dengan ketetapan baharu.
Bagaimanapun, isu utama yang menjadi perhatian pengusaha ialah kadar caj komersial bagi penggunaan platform digital, dengan pekeliling APAD menetapkan caj berkenaan ditanggung pengusaha bas dan bukannya penumpang.
Kadar sebenar caj belum diumumkan secara terbuka, manakala Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 21 Oktober lalu, berkata kerajaan diberi komitmen bahawa kadar komisen kepada syarikat bas akan lebih rendah berbanding ejen tiket dalam talian.
Menteri berkenaan menjelaskan perbezaannya terletak pada caj dan kadar komisen yang dikenakan dan memberi jaminan kerajaan akan memantau perkara itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARA Liner, Wan Agyl Wan Hassan, berkata sistem tiket semata-mata tidak mencukupi sekiranya pengusaha tidak mempunyai saluran berkesan untuk menarik pelanggan membuat tempahan.
“Sebagai pengusaha bas, saya boleh katakan bahawa mempunyai sistem tiket adalah satu perkara, mendapatkan penumpang untuk benar-benar menempah bas anda adalah perkara yang lain,” katanya.
Beliau berkata, rangka kerja baharu perlu memastikan setiap pihak dalam rantaian perkhidmatan menerima pulangan yang adil, termasuk terminal, pengusaha bas dan penyedia perkhidmatan tempahan, selain mengekalkan pilihan kepada penumpang.
Katanya, integrasi sistem juga memerlukan asas operasi kukuh, termasuk maklumat kekosongan tempat duduk yang tepat, sistem boleh dipercayai serta aturan jelas berkaitan pembatalan, bayaran balik dan penyelesaian pembayaran.
Tekanan terhadap pendapatan pengusaha turut menjadi perhatian apabila Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM) mendakwa jualan tiket ahlinya merosot antara 30 hingga 50 peratus sejak dasar berkenaan diumumkan bulan lalu.
Persatuan itu turut meminta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menilai kesan pelaksanaan aturan berkenaan terhadap persaingan industri.
Perunding pengangkutan, Dr Rosli Azad Khan menyifatkan aturan baharu itu sebagai satu lagi lapisan kawalan komersial terhadap industri yang sudah berdepan peningkatan kos operasi.
Beliau berkata, terminal dan pengusaha bas mempunyai fungsi komersial berbeza apabila terminal menyediakan infrastruktur, manakala pengusaha bas menawarkan perkhidmatan pengangkutan.
Dari sudut pengguna, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menegaskan, sebarang perubahan struktur caj tidak seharusnya menyebabkan kenaikan tambang atau caj tambahan kepada penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Saravanan Thambirajah, berkata perubahan sistem tidak boleh mengakibatkan peningkatan kos kepada pengguna.
Skala operasi TBS turut memperlihatkan kepentingan kelancaran sistem penjualan tiket, terutama ketika musim perayaan apabila terminal itu sebelum ini menjangkakan kira-kira 175,000 penumpang sepanjang tempoh perjalanan Deepavali dari 5 hingga 11 November lalu.
Jumlah itu meningkat 20 peratus berbanding musim sama tahun sebelumnya, dengan purata sekitar 25,000 penumpang sehari dan kira-kira 10,000 perjalanan bas dijangka berlepas sepanjang tempoh berkenaan.
Bagi industri, kadar komisen terminal, caj platform digital dan jadual pelaksanaan setiap fasa akan menjadi antara faktor penentu kesan sebenar aturan baharu terhadap kos operasi serta daya saing pengusaha bas, selain memastikan perubahan sistem tidak membebankan pengguna.
© New Straits Times Press (M) Bhd