KOTA BHARU – Amalan penghujahan undang-undang dalam bahasa Melayu perlu diperkukuh bagi membiasakan pengamal undang-undang menggunakan bahasa kebangsaan secara profesional ketika mengendalikan prosiding mahkamah.Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan berkata, kebergantungan terhadap bahasa Inggeris dalam amalan kehakiman tidak seharusnya berterusan atas alasan latar sejarah pendidikan undang-undang negara yang banyak dipengaruhi sistem British.”Profesionalisme peguam diukur melalui ketepatan undang-undang, kekuatan hujahan dan integriti, bukannya bahasa asing yang dituturkan.”Menganggap bahasa Melayu kurang bermartabat ialah mentaliti penjajahan yang mesti diperbetulkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penggunaan bahasa Inggeris dalam prosiding mahkamah menerusi kenyataan bertajuk ‘Sampai bila mahkamah mahu terus bergantung kepada bahasa Inggeris?’Menurut Nik Saiful Adli, sistem pendidikan tempatan sudah melahirkan ramai hakim dan pengamal undang-undang berwibawa sekali gus membuktikan kemampuan institusi pendidikan negara membangunkan kepakaran dalam bidang berkenaan.Beliau memberi contoh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang memperoleh pendidikan undang-undang di Universiti Malaya (UM) sebelum menamatkan pengajian pada 1982.Selain itu, katanya, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah juga graduan universiti sama, masing-masing pada 1986 dan 1985.Beliau turut menyebut bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum yang mengikuti pengajian undang-undang di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) menerusi program luaran University of London sebelum memperoleh ijazah pada 1975.Nik Saiful berkata, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan manakala Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan penggunaannya dalam prosiding mahkamah, tertakluk kepada kelonggaran penggunaan bahasa Inggeris atas pertimbangan kepentingan keadilan.Katanya, penggunaan bahasa Inggeris dalam penghujahan walaupun semua pihak yang terlibat memahami bahasa Melayu menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar diperlukan atau sekadar kebiasaan yang diwarisi.Beliau bagaimanapun tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris dalam rujukan undang-undang antarabangsa, dokumen teknikal dan autoriti common law, namun kelebihan menguasai bahasa itu tidak seharusnya menjadi ukuran profesionalisme seseorang pengamal undang-undang.”Perubahan boleh dilakukan secara berperingkat dengan memperkukuh istilah perundangan, latihan profesional serta bahan rujukan dalam bahasa Melayu tanpa mengetepikan penggunaan bahasa lain apabila diperlukan demi keadilan dan kefahaman pihak terlibat,” katanya.
Penggunaan bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah perlu diperkukuh
Malay News | https://www.malay.news/penggunaan-bahasa-melayu-dalam-prosiding-mahkamah-perlu-diperkukuh/