SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) perlu membuktikan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tanpa kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan bukan sekadar bercakap mengenai perkara itu.Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, anggota parti perlu mengotakan kata-kata dengan menggerakkan seluruh kekuatan jentera bagi menghadapi pilihan raya akan datang.”Kita telah dengar, kita akan berhadapan dengan PRU16 tanpa Barisan Nasional, betul? Kita jangan cakap saja, tetapi kita mesti kotakan.”Kita mesti masuk ke 29 kerusi pilihan raya (Parlimen) yang disebutkan oleh Pengarah Pilihan Raya dengan segala kekuatan, insya-ALLAH,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Pidato Presiden sempena hari kedua Konvensyen Nasional Amanah 2026 di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Ahad.Terdahulu, konvensyen tersebut meluluskan usul supaya Amanah menghadapi PRU16 tanpa kerjasama dengan BN apabila mendapat sokongan hampir kesemua perwakilan.Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menjelaskan bahawa usul berkenaan merupakan gabungan cadangan daripada Selangor, kawasan Subang dan Kelantan.Mengulas lanjut, Aiman Athirah mengingatkan anggota parti supaya tidak hanya bergantung kepada kekuatan gabungan politik atau populariti individu, sebaliknya perlu membina kekuatan dan identiti politik Amanah sendiri.Menurutnya, persiapan menghadapi PRU16 perlu diperkukuh dengan menggerakkan jentera, menghidupkan organisasi di peringkat akar umbi, membina keyakinan rakyat serta memperjelaskan tawaran politik parti.”Kita tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan gabungan ataupun populariti individu. Tapi Amanah mesti mempunyai kekuatan dan identiti politiknya sendiri,” tegasnya.Beliau juga meminta anggota parti supaya tidak menunggu sehingga musim pilihan raya untuk mendekati rakyat kerana kepercayaan masyarakat perlu dibina melalui kesungguhan dan gerak kerja berterusan.Katanya, persiapan menghadapi PRU16 sepatutnya sudah dimulakan lebih awal melalui strategi dan pelaksanaan gerak kerja yang tersusun bukannya hanya bermula ketika hari penamaan calon.Aiman Athirah berkata, kedudukan Amanah sebagai sebahagian daripada kerajaan juga tidak bermakna parti berkenaan mempunyai sumber kewangan yang tidak terbatas.Beliau mendakwa, Amanah bukan UMNO dan tidak mempunyai kemampuan kewangan seperti parti itu, sekali gus mengingatkan anggota supaya tidak menganggap kedudukan dalam kerajaan membolehkan parti menjadi kaya.Menurutnya, program parti yang bersesuaian boleh diselaraskan dengan program kerajaan melalui kerjasama kementerian dan agensi berkaitan, namun pelaksanaannya tertakluk kepada dasar serta peraturan yang ditetapkan.Sehubungan itu, beliau mahu kepimpinan di peringkat negeri dan kawasan bijak merancang program berdasarkan sumber serta peruntukan yang tersedia.Aiman Athirah turut menyeru kepimpinan parti supaya membuka lebih banyak ruang kepada wanita untuk memainkan peranan di pelbagai peringkat organisasi, bukan hanya tertumpu kepada sayap wanita.Katanya, Amanah bukan milik individu, kelompok atau generasi tertentu, sebaliknya tanggungjawab memperkukuh parti perlu dipikul bersama menjelang PRU16.
PRU16 tanpa BN: Amanah mesti kotakan kata-kata – Aiman Athirah
Malay News | https://www.malay.news/pru16-tanpa-bn-amanah-mesti-kotakan-kata-kata-aiman-athirah/