SIBU: Rundingan pembahagian kerusi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) bukan sekadar proses tawar-menawar kerusi, sebaliknya berasaskan kesediaan calon, kekuatan jentera parti dan sokongan pengundi setempat.
Baca juga: Siti Khadijah anggap hubungan dengan Amir Ahnaf profesional
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Mahmud Epah, berkata faktor berkenaan menjadi pertimbangan utama dalam menentukan parti yang paling bersedia meletakkan calon di sesuatu kawasan.
“Ini bukan bertukar tempat semata-mata tetapi mengambil kira petunjuk-petunjuk tadi bagi menentukan calon daripada parti mana yang ditempatkan untuk satu-satu kerusi itu. Jika tidak, segala usaha akan menjadi sia-sia sahaja,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Mahmud berkata, rundingan antara ketiga-tiga parti itu setakat ini berjalan lancar dengan matlamat utama mengelakkan pertembungan sesama mereka pada PRN13.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan perbincangan belum menjurus kepada pembentukan sebarang kerjasama politik secara formal.
“Setakat ini tiada perbincangan serius mengenai kerjasama secara formal dalam PRN13. Perbincangan adalah untuk mengelakkan pertembungan antara parti-parti terbabit,” katanya.
Mahmud berkata, PKR belum dapat mendedahkan kerusi yang bakal ditandingi bagi menghormati proses rundingan dengan parti lain, namun perkara itu dijangka diketahui selepas 25 November ini.
Ditanya mengenai kemungkinan beliau sendiri bertanding, beliau berkata, tumpuannya ketika ini lebih pada pengurusan dan persiapan parti menghadapi PRN13.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan bertanding sekiranya diminta oleh pucuk pimpinan parti.
Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Roland Engan, dilaporkan berkata parti itu merancang mengumumkan calon pada 25 November selepas rundingan pembahagian kerusi bersama DAP dan PBDS dimuktamadkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd