LATEST

1.6 juta kenderaan Honda, Toyota berdepan risiko beg udara pecah

1.6 juta kenderaan Honda, Toyota berdepan risiko beg udara pecah

WASHINGTON: Pengeluar automotif Jepun, Honda dan Toyota Motor mengumumkan panggilan semula kira-kira 1.6 juta kereta, trak dan kenderaan utiliti sukan (SUV) susulan risiko peledak beg udara Takata mengalami kerosakan dan pecah.

Kedua-dua syarikat itu pada Jumaat memaklumkan, tiada kecederaan, kemalangan atau insiden peledak beg udara pecah dilaporkan membabitkan kenderaan terjejas setakat ini. Komponen berkenaan akan digantikan secara percuma.

Baca juga: Siti Khadijah anggap hubungan dengan Amir Ahnaf profesional

Bagaimanapun, kecacatan peledak beg udara Takata sebelum ini mengakibatkan sekurang-kurangnya 28 kematian dan lebih 400 kecederaan di Amerika Syarikat (AS) sejak 2009, sekali gus mencetuskan panggilan balik kenderaan terbesar dalam sejarah negara itu.

Sekurang-kurangnya 20 daripada kematian berkenaan membabitkan kenderaan Honda.

Berbeza dengan jutaan kenderaan yang dipanggil balik sebelum ini, kenderaan dalam tindakan terbaharu itu dilengkapi peledak beg udara yang mengandungi bahan penyerap kelembapan.

Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan AS (NHTSA) berkata, analisis dan simulasi kemerosotan peledak oleh kumpulan ujian bebas membolehkan pengeluar mengambil tindakan awal sebelum risiko keselamatan berlaku.

“Honda dan Toyota mengesan bukti awal risiko kemerosotan pada beberapa model kenderaan mereka dan kini melaksanakan panggilan balik secara proaktif,” menurut NHTSA pada Jumaat.

Agensi itu turut memaklumkan pengeluar automotif lain masih menjalankan ujian terhadap komponen berkenaan.

Panggilan balik itu membabitkan 810,592 kereta dan SUV keluaran lama Honda di AS serta 790,000 kenderaan Toyota di seluruh dunia, termasuk 314,000 unit di AS.

Antara model Toyota yang terjejas ialah Lexus SC430 (2002–2010), IS250 (2011), GX460 (2017), Toyota Corolla (2003–2008), Tundra (2005–2006), Sequoia (2005–2007) dan 4Runner (2016–2017).

Bagi Honda pula, model terlibat termasuk Accord (2013), Civic (2012–2013), CR-V (2012–2013), Acura ILX (2013) dan Acura RDX (2013).

Honda berkata, pemantauan jangka panjang mendapati bahan pendorong dalam peledak tertentu berpotensi merosot di 14 negeri dan wilayah AS yang mengalami cuaca panas, lembap serta perubahan suhu ketara, termasuk California, Florida, Texas dan Hawaii.

Toyota pula memberi amaran bahawa kemerosotan bahan pendorong boleh menyebabkan peledak pecah ketika beg udara mengembang, sekali gus mengakibatkan kecederaan serius. Komponen gantian dijangka tersedia menjelang awal 2027.

Dalam tempoh sedekad lalu, kira-kira 24 pengeluar automotif utama dunia telah memanggil balik lebih 100 juta kenderaan yang dilengkapi peledak beg udara Takata di seluruh dunia, termasuk sekitar 67 juta unit di AS, berikutan risiko komponen itu meletup dan memuntahkan serpihan logam ke dalam ruang penumpang. – AGENSI

The post 1.6 juta kenderaan Honda, Toyota berdepan risiko beg udara pecah appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news