LATEST

Jangan hukum keseluruhan ATM, TUDM akibat perbuatan segelintir anggota – Mohamed Khaled

Jangan hukum keseluruhan ATM, TUDM akibat perbuatan segelintir anggota – Mohamed Khaled

am@hmetro.com.my

Baca juga: 5,000 peserta dijangka hadiri Persidangan Pembinaan Negara Bangsa 2026

Kota Tinggi: Masyarakat tidak wajar menghukum keseluruhan institusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) susulan insiden penemuan barang terlarang di Pangkalan Udara Subang yang hanya membabitkan segelintir anggota tidak beramanah

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau memandang serius perkara itu namun daripada kira-kira 120,000 anggota tentera yang berkhidmat, hanya sebilangan kecil yang terlibat dalam kes berkenaan manakala majoriti lain kekal beramanah, berintegriti dan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Dalam kes ini, kita tahu beberapa anggota telah mengkhianati amanah, tetapi sebagai institusi tidak mengkhianati amanah itu apabila kita sendiri yang membuat laporan polis untuk siasatan bagi mencegah perkara itu.

“Jadi, dalam konteks ini, institusi terus melakukan amanahnya, yang tidak amanah itu adalah beberapa individu. Memang kerana nila setitik, maka rosak susu sebelanga, tetapi dalam konteks ini susu sebelanga tu tidak boleh dipersalahkan hanya kerana nila setitik.

“Jadi, saya berharap supaya masyarakat tidak menghukum institusi,” katanya ketika sidang media selepas Program Hari Apresiasi Kanak-kanak TABIKA/TASKA KEMAS Parlimen Kota Tinggi 2026 di Desaru, Bandar Penawar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tangkapan tujuh individu terdiri daripada lima pegawai serta dua anggota susulan penemuan barang mencurigakan di pangkalan udara berkenaan.

Menurut Mohamed Khaled, Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersikap terbuka, telus dan berpegang kepada akauntabiliti tinggi supaya perkara sebenar dapat dijelaskan kepada masyarakat tanpa menutup atau menipu diri sendiri.

“Kita tidak kompromi dalam soal ini dan kita tidak memaafkan sesiapa, tidak kira apa pun pangkat. Siasatan sedang dilakukan oleh polis dan kita akan beri kerjasama sepenuhnya serta berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, isu seumpama itu bukan sahaja menjejaskan reputasi ATM dan TUDM, malah lebih utama boleh memberi kesan kepada kesiagaan pertahanan serta kedaulatan negara sekiranya dibiarkan berlaku secara berleluasa.

Katanya, tindakan pantas pihak penguatkuasaan disiplin dalam pasukan membuktikan institusi pertahanan masih berfungsi dengan baik serta komited membendung dan membanteras perbuatan berkenaan daripada berulang.

“Saya melihat perkara ini sebagai satu perkara yang sangat serius dan sangat besar. Di peringkat kementerian, kita sangat terbuka, berterus terang dan telus, berasaskan kepada kebertanggungjawaban yang tinggi dan akauntabiliti dalam perkara-perkara seperti ini.

“Kita mahu supaya yang betul, yang benar dapat dijelaskan dan dibentangkan kepada masyarakat serta negara kerana apa-apa yang tidak betul ataupun tidak tepat sebenarnya kita hanya menutup ataupun menipu diri kita sendiri.

“Kita tidak berkompromi dalam soal ini dan tidak memaafkan sesiapa serta akan berikan kerjasama yang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dilakukan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa pegawai TUDM, termasuk juruterbang, terbabit kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar.

Perdana Menteri dilaporkan menyifatkan kes itu sebagai amat membimbangkan, sekali gus memberi amaran bahawa tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit tanpa mengira pangkat.

Berikutan itu, pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan mengesahkan, lima pegawai TUDM ialah antara 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan, kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kilogram dadah dengan menggunakan aset TUDM itu.

Beliau dilaporkan berkata, 11 individu termasuk enam orang awam itu diberkas susulan penemuan dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news