am@hmetro.com.my
Baca juga: KDN perketat kawalan di pangkalan pasukan keselamatan
Melaka: Polis memburu sekumpulan suspek yang cuba mencuri kabel bawah tanah sebelum meloloskan diri menggunakan dua kenderaan selepas dikejar dari Taman Malim Jaya hingga ke Rumbia, Alor Gajah, semalam.
Kejadian jam 6.05 pagi itu terbongkar selepas video berdurasi 10 saat memaparkan kegiatan berkenaan tular di Facebook menerusi akaun Ahli Dewan Undangan Negeri Kesidang, Alex Seah Shoo Chin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, pihaknya mengesan video terbabit dan menerima laporan polis sebelum melancarkan siasatan bagi mengesan suspek.
Menurutnya, sebelum kejadian, anggota Rondaan Cegah Jenayah menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah Melaka Tengah mengenai sekumpulan individu disyaki membuka penutup lubang utiliti bawah tanah dan memotong kabel.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa individu sedang membuka penutup lubang utiliti berkenaan. Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran polis, mereka melarikan diri menaiki sebuah Proton S70 biru gelap dan Toyota Hilux putih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis kemudian melancarkan gerakan mengejar dengan bantuan beberapa unit kereta peronda meliputi laluan Taman Malim Jaya, Batu Berendam, Krubong dan Cheng hingga ke Rumbia, Alor Gajah.
“Namun, kedua-dua kenderaan itu berjaya melepaskan diri dan usaha mengesan suspek masih diteruskan,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati penutup lubang utiliti di Jalan Malim Jaya 2/2 serta Bulatan Malim Jaya sudah dibuka dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek serta mengesan kenderaan terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd