LATEST

Central Hat Yai jadi pusat bantuan pelancong Malaysia jika terkandas banjir

Central Hat Yai jadi pusat bantuan pelancong Malaysia jika terkandas banjir

Hat Yai, Thailand: Pusat beli-belah Central di sini, bakal menjadi titik bantuan kepada semua pelancong, termasuk dari Malaysia, sekiranya mereka menghadapi masalah atau terkesan akibat bencana alam di bandar ini.

Baca juga: Alcaraz, Zverev buat perhitungan di final

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, pusat beli-belah itu akan menjadi tempat berkumpul dan penghantaran ke kawasan selamat sekiranya pelancong terkandas akibat banjir yang mungkin berlaku di bandar itu.

Katanya, kewujudan pusat bantuan itu adalah hasil kerjasama Majlis Industri Pelancongan Wilayah Songkhla, Persatuan Hotel Hat Yai dan pusat beli-belah berkenaan.

“Ini adalah satu inisiatif yang diambil oleh pihak berkenaan sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir sebagaimana yang berlaku tahun lalu.

“Oleh itu pelancong, khususnya dari Malaysia yang terkandas akibat banjir tidak perlu bimbang dan mereka boleh menghubungi pasukan penyelamat untuk dikumpulkan di Central Hat Yai sebelum dihantar pulang,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan di bandar itu sudah mengambil pelbagai langkah untuk membantu semua pihak yang berdepan masalah dan memastikan keselamatan pelancong dengan mewujudkan zon selamat.

Menurutnya, dalam banjir besar yang melanda bandar itu pada akhir November tahun lalu, lebih 6,000 pelancong Malaysia terkandas serta memerlukan operasi pemindahan dan bantuan.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi menasihatkan rakyat Malaysia ke Thailand terutama ketika musim tengkujuh sekarang, supaya sentiasa memantau maklumat dan ramalan cuaca, mengambil insurans perjalanan lengkap dan memastikan keselamatan di jalan raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news