PETALING JAYA: Terengganu FC (TFC) terus buntu mencari kemenangan kedua apabila tewas 2-1 kepada DPMM FC dalam aksi Liga Super, kelmarin sekali gus menggagalkan usaha skuad Penyu untuk bangkit daripada situasi sukar.
Kekalahan itu turut mengecewakan pengendali TFC, Nafuzi Zain yang mengakui kemenangan menjadi sasaran utama pasukan bagi meraih tiga mata penting, namun peluang yang dimiliki gagal diterjemahkan kepada keputusan positif.
Baca juga: PH perlu formula baharu pikat pengundi pelbagai bangsa
Menurutnya, pemain memulakan perlawanan dengan baik tetapi kegagalan memanfaatkan peluang selain kesilapan ketika bertahan akhirnya menjadi faktor pasukan terpaksa menerima kekalahan.
“Kita memang mengharapkan kemenangan, tetapi kecewa kerana usaha untuk mendapatkan tiga mata tidak berhasil walaupun pemain sudah memberikan yang terbaik,” katanya selepas tamat perlawanan.
Rentak permainan TFC turut terjejas apabila terpaksa mengeluarkan Habib Haroon dan Haziq Kutty Abba yang mengalami kecederaan, sekali gus menyukarkan Nafuzi melakukan perubahan mengikut perancangan asal.
Ketiadaan Romel Morales dan Gervane Kastaneer turut mengehadkan pilihan di bangku simpanan, menyebabkan Nafuzi terpaksa memberi ruang kepada pemain muda untuk membantu pasukan memburu keputusan lebih baik.
“Kita mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, tetapi gagal memanfaatkannya sebelum lawan menghukum kita dengan peluang yang mereka miliki,” katanya.
Nafuzi berkata, TFC lebih tersusun pada babak pertama, namun perubahan terpaksa dilakukan selepas kecederaan dua pemain menjejaskan rentak pasukan, manakala pada babak kedua mereka cuba meningkatkan tempo menerusi pertukaran yang lebih berorientasikan serangan.
Bagaimanapun, usaha itu tetap tidak membuahkan hasil dan Nafuzi mengakui aspek penyudah serta tumpuan ketika bertahan perlu diperbaiki jika TFC mahu keluar daripada kemelut prestasi yang sedang dihadapi.
“Pasukan perlu melakukan lebih banyak penambahbaikan dan bekerja lebih keras lagi bagi memastikan TFC mampu bangkit daripada situasi sukar ini,” tambahnya.
Pada perlawanan itu, Dalberto menjadi watak pemusnah buat TFC apabila meledak dua gol untuk DPMM FC, manakala gol tunggal skuad Penyu hadir menerusi sepakan penalti Victor Ruiz. – UTUSAN
The post Nafuzi kecewa skuad Penyu gagal bangkit appeared first on Utusan Malaysia.