syafil.syazwan@hmetro.com.my
Baca juga: Mesyuarat Kabinet bincang isu seludup dadah babitkan TUDM minggu hadapan
Kuala Lumpur : “Gemilang populariti hanya sementara dan wajah kita akan dimamah usia. Namun, dengan kejujuran jiwa serta disiplin, nama akan terus hidup selamanya.”
Demikian pesanan primadona layar perak, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy, 64, buat generasi pelapis industri lakonan tanah air selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di sini, malam tadi.
Pengiktirafan tertinggi itu diberikan bagi menghargai bakat luar biasa, komitmen jitu serta jasa besarnya sepanjang lebih lima dekad mengabdikan diri dalam dunia seni lakon tempatan.
Menurut bintang filem ikonik Azura itu, dia mendedikasikan detik manis berkenaan khusus buat arwah ibunya, Allahyarham Seniwati Saadiah yang menjadi pencetus utama pembabitannya dalam bidang lakonan biarpun dia langsung tidak mempunyai sekelumit minat pada awalnya.
“Terima kasih Allah kerana memberi saya peluang merasai nikmat ini sementara saya masih bernafas.
“Selepas lima dekad mengembara dalam dunia seni tanpa minat pada mulanya, saya pernah bertanya kepada diri sendiri dan jawapannya, ini adalah rahsia Tuhan.
“Kerana Tuhan menggerakkan hati, arwah mak melihat bakat dalam diri ini sedangkan saya sendiri buta. Melalui tangannya, saya terus mencari ilmu daripada guru hebat yang menekankan kejujuran dalam setiap naskhah,” katanya penuh sebak.
Mengulas lanjut, Ogy menyifatkan trofi yang digenggamnya itu bukanlah kemenangan peribadi semata-mata, sebaliknya merupakan penghormatan buat semua pihak yang pernah membentuk jati dirinya sepanjang bergelar anak seni.
“Trofi ini adalah milik semua guru saya, penerbit, penulis, pengarah, kru belakang tabir dan rakan seperjuangan termasuk barisan pelakon yang berkongsi nafas dengan saya di set penggambaran.
“Nyalakan terus obor seni kalian untuk generasi akan datang kerana seni tidak akan pernah mati. Mak, saya dapat trofi ini kerana mak,” ujarnya.
Menerusi pengiktirafan berprestij itu, Ogy membawa pulang trofi berserta hadiah wang tunai bernilai RM10,000.
Selain Ogy, penganjur FFM35 turut mengiktiraf sumbangan besar pelakon legenda tanah air, Ahmad Yatim sebagai penerima trofi Anugerah Khas Sepanjang Zaman pada malam bersejarah tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd