hifzuddin@bh.com.my
Baca juga: Penyerang tembak mati lima renjer ditahan
Kulim: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membawa isu penyeludupan dadah membabitkan aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkat, Perdana Menteri berhasrat membincangkan kemungkinan kawalan keselamatan pintu keluar masuk negara diperluas ke kawasan pangkalan udara pasukan keselamatan.
Katanya, ini kerana terdapat banyak pangkalan udara di seluruh negara di bawah kawalan pihak tentera, selain polis melalui Pasukan Gerakan Udara (PGU), terdedah kepada risiko penyeludupan.
“Ketika kejadian ini berlaku, saya bersama Perdana Menteri berada di Shenzen dan beliau menyampaikan kepada saya berkaitan kawalan pintu masuk negara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan sebagainya.
“Jadi Perdana Menteri ada cadangan dan beliau akan bawa pada Mesyuarat Jemaah Menteri pada khusus untuk bincang isu ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Kampung Paya Besar, Lunas dekat sini, malam tadi.
Saifuddin berkata, fokus utama pihaknya ketika ini adalah memastikan bahan terlarang tidak dibawa masuk atau keluar melalui pintu masuk udara rasmi negara.
Katanya, bagaimanapun wujud kemungkinan peranan itu akan diperluas ke pintu masuk udara lain, susulan kejadian penyeludupan dadah membabitkan pegawai TUDM.
“Apakah kawalan kita hanya terhadap pintu masuk rasmi sahaja dan tak termasuk pangkalan pasukan keselamatan seperti tentera dan polis kerana polis misalnya ada pangkalan untuk PGU dan TUDM juga ada banyak pangkalannya sendiri.
“Sekarang fokus kita adalah kawalan pintu masuk, tetapi ekoran insiden ini, Perdana Menteri bangkitkan untuk KDN melihat balik apakah ini wajar untuk kita lihat?” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Anwar mendedahkan bahawa pegawai TUDM, termasuk juruterbang, terbabit kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar.
Perdana Menteri menyifatkan kes itu sebagai amat membimbangkan, sekali gus memberi amaran bahawa tindakan tegas mesti diambil terhadap mereka yang terbabit tanpa mengira pangkat.
Berikutan itu pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, lima pegawai TUDM ialah antara 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kg dadah dengan menggunakan aset TUDM, baru-baru ini.
Beliau berkata, 11 individu termasuk enam orang awam itu diberkas susulan penemuan syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd