LATEST
National

Bayern umum pendapatan RM4.4 bilion

Bayern umum pendapatan RM4.4 bilion

MUNICH: Bayern Munich mengumumkan rekod pendapatan sebanyak 988.2 juta euro (RM4.4 bilion) bagi musim 2025-26, selain menjadi kelab bola sepak pertama yang mencatatkan keahlian melebihi 500,000 orang.

Baca juga: FFM35: Khadam bolot 10 trofi termasuk Filem Terbaik

Pengumuman itu dibuat pada mesyuarat agung tahunan kelab berkenaan di Munich, dengan pendapatan musim lalu meningkat kira-kira RM45 juta berbanding musim sebelumnya.

Kelab itu turut mengumumkan keuntungan sebelum cukai yang sedikit menurun kepada RM159 juta berbanding RM191 juta yang dicatatkan musim lalu.

Bayern berkata, keahlian mereka yang melepasi angka 500,000 buat kali pertama itu adalah jumlah tertinggi pernah dicatatkan mana-mana organisasi sukan di seluruh dunia, dengan ahli mempunyai hak mengundi pada mesyuarat tahunan kelab.

Gergasi Jerman itu menggandakan jumlah keahlian mereka dalam tempoh 12 tahun, meningkat daripada 250,000 pada 2014 kepada 500,000 tahun ini.

Bayern memenangi kejuaraan berganda liga dan piala domestik pada musim 2025-26, dengan hanya tewas tiga daripada 53 perlawanan dalam semua pertandingan.

Di pentas Eropah, gergasi Jerman itu mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum tersingkir dengan agregat 5-6 kepada juara, Paris Saint-Germain (PSG).

Pasukan wanita Bayern turut memenangi kejuaraan berganda selain menyamai pencapaian skuad lelaki apabila mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum disingkirkan juara, Barcelona.

“Kami sekali lagi mencatatkan tahun yang penuh dengan rekod baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Jan-Christian Dreesen.

“Ini membuktikan kelab kami mempunyai asas yang kukuh. Kami akan terus membuat pelaburan bagi memastikan pasukan memiliki persekitaran terbaik untuk mencapai kejayaan dalam bidang sukan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news