LATEST

Sam dan Aida Pelakon Terbaik FFM35, Sam belanja 100 piza percuma

Sam dan Aida Pelakon Terbaik FFM35, Sam belanja 100 piza percuma

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lakonan penuh jiwa dan berkesan menerusi naskhah Badak membawa tuah berganda buat Shaheizy Sam dan Aida Amron apabila masing-masing dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik serta Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Istana Budaya di sini, malam tadi.

Baca juga: YTSP Perlis santuni lebih 50,000 pelajar menerusi Program Titian Kasih Mega

Kemenangan bergaya Sam menerusi watak bapa orang kurang upaya (OKU) pendengaran dalam filem arahan M Raihan Halim itu menyaksikan beliau berjaya menewaskan empat calon hebat lain iaitu Idan Aedan (Abah Saya Uncle Mike), Eman Manan (3 Hajat), Beto Kusyairy (Gayong 2) dan Amerul Affendi (Libang Libu).

Pelakon filem Polis Evo itu menyifatkan kejayaan manis tersebut sebagai rezeki berpaksikan doa tidak putus-putus daripada keluarga tercinta serta komitmen padu seluruh pasukan produksi filem berkenaan.

“Alhamdulillah, ini rezeki dan terima kasih kepada ibu saya, Khaty Fauziah yang tak pernah berhenti mendoakan, isteri, keluarga serta seluruh pasukan filem Badak.

“Saya hadiahkan semula kemenangan ini kepada semua yang datang ke kafe Abdul’s, 100 piza pertama percuma,” katanya penuh teruja ketika berucap menerima trofi berkenaan di pentas utama.

Sementara itu, pelakon meningkat naik, Aida Amron mencipta kejutan besar apabila mengetepikan saingan sengit nama-nama besar industri termasuk Azira Shafinaz (Malam Terlarang), Fish Liew (Pavane For An Infant), Nad Zainal (Denu) dan Mimi Lana (Polong) bagi merangkul trofi berprestij Pelakon Wanita Terbaik.

Aida menyifatkan naskhah terbabit sebagai sebuah karya yang cukup bermakna serta meninggalkan impak mendalam sepanjang pembabitannya dalam dunia seni lakon tanah air.

“Terima kasih kepada semua pihak kerana memberi kepercayaan dan menganugerahkan saya trofi ini.

“Badak adalah karya yang sangat bermakna serta menjadi peringatan kepada semua dan semoga saya dapat terus memanusiakan manusia dalam industri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menjadi milik Kuben Mahadevan menerusi lakonan mantapnya dalam filem Macai, manakala Ezarra Nurzhaffira atau Zarra Zhaff (Khadam) membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Kesemua pemenang kategori utama lakonan pada malam kemuncak berprestij itu masing-masing membawa pulang trofi kemenangan berserta hadiah wang tunai bernilai RM5,000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news